GWM Haval H7 Hi4 dipertonton di KLIMS – PHEV AWD pesaing Jetour T2, 370 PS, jarak gerak lebih 1,000 km

Selepas beberapa siri teaser yang dikongsikan sebelum ini, GWM Malaysia akhirnya mempertontonkan Haval H7 kepada umum sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026. Kemunculan model baru ini menandakan kemasukan GWM ke dalam segmen SUV gaya offroad yang semakin popular di Malaysia, sekaligus meletakkan Jetour T2 sebagai sasaran utamanya.

Seperti pesaing tersebut, Haval H7 bukanlah sebuah SUV berasaskan casis ladder-frame tradisional, sebaliknya menggunakan struktur monocoque yang lebih moden. Namun dari segi penampilan, model ini jelas direka untuk menampilkan imej sebuah kenderaan pacuan empat roda lasak.

Reka bentuk luarnya menampilkan bentuk badan berkotak, posisi badan yang tegak, lengkuk roda berpetak serta tayar gantian bersaiz penuh yang dipasang pada pintu belakang jenis bukaan sisi. Secara keseluruhan, Haval H7 tampil dengan karakter yang kukuh dan lasak, tetapi mungkin tidak seunik Jetour T2 yang banyak mengambil inspirasi daripada Land Rover Defender.

Model yang dipamerkan di KLIMS merupakan versi facelift terkini yang menerima beberapa perubahan pada bahagian luaran. Lampu utama bulat yang digunakan sebelum ini digantikan dengan unit berbentuk segi empat, sekaligus memberikan identiti tersendiri berbanding Haval H9. Gril hadapan juga direka semula dengan tambahan jalur lampu melintang yang menghubungkan kedua-dua lampu utama.

GWM Haval H7 Hi4 dipertonton di KLIMS – PHEV AWD pesaing Jetour T2, 370 PS, jarak gerak lebih 1,000 km

Di bahagian belakang, lampu jenis empat petak digantikan dengan unit menegak yang lebih moden. Haval H7 turut dipadankan dengan rim aloi hitam multi-spoked bersaiz 19 inci yang melengkapkan penampilannya.

Tema lasak diteruskan ke bahagian kabin menerusi papan pemuka bersegi dan pemegang tangan besar untuk penumpang hadapan. Pemandu pula disambut dengan stereng dua cabang serta kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci yang dilengkapi penunjuk gear di bahagian atas paparan.

Di tengah papan pemuka terdapat skrin infotainmen bersaiz 15.6 inci yang menggunakan sistem operasi terkini Coffee OS milik GWM. Menariknya, pengeluar masih mengekalkan butang fizikal untuk kawalan pendingin udara, sesuatu yang semakin jarang ditemui dalam kenderaan moden.

Konsol tengah yang lebar turut menempatkan beberapa butang kawalan fizikal serta tombol pemilih mod pemanduan. Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk tempat duduk pemandu larasan elektrik, ruang simpanan tengah dengan fungsi penyejukan, head-up display, bumbung panoramik dan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.

GWM Haval H7 Hi4 dipertonton di KLIMS – PHEV AWD pesaing Jetour T2, 370 PS, jarak gerak lebih 1,000 km

Dari segi dimensi, Haval H7 berukuran 4,800 mm panjang, 1,950 mm lebar dan 1,843 mm tinggi dengan jarak roda 2,738 mm. Berbanding Jetour T2, model ini sedikit lebih panjang tetapi lebih sempit dan lebih rendah. Tambahan panjang tersebut sebahagian besarnya disumbangkan oleh tayar gantian bersaiz penuh yang dipasang di belakang.

Unit yang dipamerkan di KLIMS menggunakan sistem rangkaian kuasa Hi4 plug-in hybrid (PHEV) yang menjadi varian paling berkuasa dalam keluarga H7. Sistem ini menggabungkan dua motor elektrik bersama enjin petrol 1.5 liter turbo empat silinder.

Motor elektrik hadapan menghasilkan 109 PS dan 170 Nm tork, manakala motor belakang menyumbang 204 PS dan 350 Nm tork. Enjin petrol pula menghasilkan 150 PS dan 230 Nm tork serta dipadankan dengan transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua kelajuan.

Gabungan keseluruhan sistem menghasilkan 370 PS dan 750 Nm tork, membolehkan Haval H7 memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 6.2 saat.

GWM Haval H7 Hi4 dipertonton di KLIMS – PHEV AWD pesaing Jetour T2, 370 PS, jarak gerak lebih 1,000 km

Bekalan tenaga disimpan dalam bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 27.54 kWh, lebih besar berbanding versi yang bakal dipasarkan di Filipina. Dengan bateri tersebut, Haval H7 mampu bergerak sehingga 150 kilometer menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya mengikut kitaran CLTC atau sekitar 115 kilometer berdasarkan piawaian WLTP.

Apabila digabungkan dengan enjin petrol, SUV ini mampu menawarkan jarak perjalanan keseluruhan melebihi 1,000 kilometer untuk satu isian bahan api dan cas penuh.

Selain varian Hi4, Haval H7 turut ditawarkan dalam versi hibrid biasa dan PHEV pacuan dua roda. Kedua-dua varian menggunakan motor elektrik hadapan berkuasa 177 PS dan 300 Nm tork. Versi hibrid menghasilkan kuasa keseluruhan 244 PS manakala versi PHEV mencapai 322 PS.

Varian PHEV pacuan dua roda menggunakan bateri LFP berkapasiti 19.09 kWh yang membolehkan jarak pemanduan elektrik sekitar 105 kilometer mengikut piawaian NEDC atau kira-kira 90 kilometer berdasarkan piawaian WLTP.

GWM Haval H7 Hi4 dipertonton di KLIMS – PHEV AWD pesaing Jetour T2, 370 PS, jarak gerak lebih 1,000 km

Walaupun tidak dibangunkan sebagai SUV offroad tulen, Haval H7 masih menawarkan beberapa ciri yang meningkatkan keupayaannya di laluan mencabar. Antaranya termasuk differential belakang dengan kunci elektronik, serta sudut mendaki, breakover dan pelepasan masing-masing 25 darjah, 32 darjah dan 20.1 darjah.

Walaubagaimanapun, kemampuan meredah air dihadkan kepada 580 mm, lebih rendah berbanding Jetour T2 yang mampu meredah air sedalam 700 mm.

Setakat ini, GWM Malaysia masih belum mengumumkan harga rasmi dan tarikh pelancaran Haval H7. Namun model tersebut dijangka memasuki pasaran tempatan sebelum penghujung tahun ini, berkemungkinan besar dalam versi pemasangan tempatan (CKD). Langkah itu dilihat penting bagi memastikan harga jualannya mampu bersaing secara terus dengan Jetour T2 yang kini ditawarkan pada harga RM156,800.