
KLIMS 2026 menyaksikan GWM Malaysia mempamerkan model lanjutan kepada Ora Good Cat; Ora 5 HEV, yang sedikit lebih besar dan matang, kini membuat penampilan sulung di Malaysia.
Model berkenaan merupakan sebuah SUV kompak yang dikuasakan oleh sistem hibrid Hi2 GWM – ‘H’ untuk hibrid, ‘i’ untuk pintar dan ‘2’ mencerminkan dua manfaat iaitu kecekapan dan prestasi. Label ‘2’ juga boleh merujuk kepada pacuan dua roda yang melengkapinya (kerana GWM menggelar sistem hibrid pacuan empat rodanya sebagai Hi4) — menjadikan Ora 5 HEV kereta pacuan roda depan.
GWM Ora 5 HEV dilengkapi enjin turbo 1.5 liter, yang diganding bersama transmisi hibrid khusus dua-kelajuan (DHT) dengan motor elektrik bersepadu, serta bateri 1.09 kWh dengan output gabungan sebanyak 223 PS/476 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 7.7 saat, manakala penggunaan bahan api ialah 22.7 km seliter dan didakwa mampu memberikan jarak perjalanan keseluruhan melebihi 1,100 km, mengikut kitaran WLTP.

Mempunyai ukuran 4,471 mm panjang, 1,833 mm lebar dan 1,641 mm tinggi dengan jarak roda 2,720 mm, Ora 5 berada di antara BYD Atto 3 dan Proton eMas 7 dari segi saiz. Ia juga 236 mm lebih panjang, 58 mm lebih lebar dan 45 mm lebih tinggi berbanding Good Cat, sambil mempunyai jarak roda yang 70 mm lebih panjang.
Ia menggunakan suspensi MacPherson dan dilengkapi cakera brek berliang di hadapan; di belakang pula dnegan suspensi jenis multi-link dan brek cakera penuh. Rim aloi 18-inci dipasang dengan tayar bersaiz 225/60.
Merujuk spesifikasi pasaran Thailand, kereta ini diberikan panel instrumen 10.25-inci, skrin sentuh 14.6-inci, Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, fungsi aplikasi, kemas kini OTA, enam-pembesar suara (sembilan untuk varian Ultra yang paling tinggi), pengecasan tanpa wayar 50 watt, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala (Ultra ada tambahan liang pengudaraan dan tiga tetapan memori), tempat duduk penumpang hadapan larasan manual empat-hala (Ultra ditambah pelarasan kuasa dan pengudaraan) serta tempat duduk kulit.

ADAS adalah ciri standard, terdiri antaranya daripada fungsi AEB, ACC dan pelbagai fungsi amaran lorong memandu, dengan varian Ultra menerima tambahan bantuan pertukaran lorong, pengesan titik buta, amaran pintu terbuka, pengekalan lorong kecemasan, amaran trafik lintas belakang, brek trafik lintas belakang, amaran trafik lintasan hadapan dan brek trafik lintas hadapan.
Harga permulaan di Thailand ialah 729k baht (RM90k). Memandangkan Ora Good Cat Ultra dan Ora Good Cat GT di sini masing-masing sudah mencecah harga RM110k dan RM120k, berapakah harga yang dijangkakan sesuai untuk Ora 5 HEV nanti?



















