Zeekr 9X dibuka untuk tempahan di M’sia – SUV PHEV mewah dipertonton di KLIMS, anggaran dari RM800k

Zeekr Malaysia mengambil kesempatan sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 untuk mempersembahkan SUV mewah terbarunya, Zeekr 9X. Model yang menjadi SUV paling premium dalam portfolio jenama itu dijangka dilancarkan secara rasmi di Malaysia sama ada pada penghujung 2026 atau awal 2027.

Seiring dengan penampilan sulungnya di KLIMS, Zeekr Malaysia turut membuka tempahan awal untuk model berkenaan dengan anggaran harga bermula sekitar RM800,000. Jika harga rasmi kekal pada paras tersebut ketika pelancaran nanti, Zeekr 9X bakal menjadi model paling mahal pernah ditawarkan oleh jenama itu di pasaran Malaysia.

SUV tiga baris tempat duduk ini mencatat ukuran 5,239 mm panjang, 2,029 mm lebar dan 1,819 mm tinggi, dengan jarak roda mencecah 3,169 mm. Saiz yang besar itu digabungkan dengan rekaan berkotak yang tegap, gril hadapan bersaiz besar, lampu hadapan dua tingkat serta lampu belakang penuh merentasi bahagian belakang, menjadikannya kelihatan sangat mewah dan berprestij.

Bahagian dalaman pula direka untuk menawarkan pengalaman setanding SUV mewah premium. Kabin dihiasi dengan balutan kulit Nappa, kemasan kayu semula jadi gaya Nordic, lapisan bumbung suede serta tombol kawalan media kristal yang meningkatkan lagi nilai kemewahan.

Zeekr 9X dibuka untuk tempahan di M’sia – SUV PHEV mewah dipertonton di KLIMS, anggaran dari RM800k

Dari segi teknologi dan keselesaan, Zeekr 9X dilengkapi lampu suasana, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan, kluster instrumen digital bersaiz 13 inci, dua skrin OLED 3.5K bersaiz 16 inci untuk sistem infotainmen dan penumpang hadapan, peti sejuk binaan dalam, sistem audio 32 pembesar suara serta skrin hiburan belakang bersaiz 17 inci yang dipasang pada siling.

Zeekr 9X dibangunkan menggunakan platform SEA-S dengan sistem elektrik 900 volt. Model ini menggunakan teknologi SEA Super Hybrid daripada Geely Group, iaitu sistem plug-in hybrid (PHEV) yang menggabungkan enjin petrol 2.0 liter turbo berkuasa 279 PS bersama beberapa motor elektrik serta bateri nickel manganese cobalt (NMC).

Dalam konfigurasi paling berkuasa, Zeekr 9X menggunakan bateri 70 kWh bersama tiga motor elektrik, terdiri daripada dua motor di belakang dan satu di hadapan. Gabungan tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 1,400 PS dan 1,410 Nm tork, menjadikannya antara SUV paling berkuasa dalam dunia ketika ini.

Bagaimanapun, unit yang dipamerkan di KLIMS menggunakan konfigurasi yang lebih rendah dengan dua motor elektrik dan pilihan bateri 55 kWh atau 70 kWh. Sistem ini masih menghasilkan kuasa yang sangat mengagumkan iaitu 897 PS serta 935 Nm tork.

Zeekr 9X dibuka untuk tempahan di M’sia – SUV PHEV mewah dipertonton di KLIMS, anggaran dari RM800k

Prestasi yang ditawarkan setanding kereta sport berprestasi tinggi. Dalam versi paling berkuasa, pecutan 0-100 km/j hanya memerlukan 3.1 saat. Bagi varian output lebih rendah, masa pecutan berada antara 3.9 hingga 4.2 saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 240 km/j untuk semua varian.

Dari aspek kecekapan, Zeekr 9X mampu bergerak sejauh antara 235 hingga 302 kilometer menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya mengikut piawaian WLTP, bergantung kepada konfigurasi rangkaian kuasa yang dipilih. Apabila digabungkan dengan enjin petrol, jarak perjalanan keseluruhan boleh mencapai antara 982 hingga 1,015 kilometer.

Sistem elektrik voltan tinggi yang digunakan turut membolehkan pengecasan pantas DC dilakukan dengan sangat cepat. Tahap bateri boleh ditingkatkan daripada 20 peratus kepada 80 peratus dalam masa hanya sembilan minit.

Ciri casis dan pengendalian turut diberi perhatian. Zeekr 9X dilengkapi suspensi udara dual chamber bersama sistem kawalan redaman berterusan sebagai kelengkapan standard. Pembeli juga boleh memilih sistem penstabil olengan aktif 48 volt yang membantu meningkatkan kestabilan dan keselesaan pemanduan.

Sebagai model flagship, SUV ini turut menerima pakej sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang lengkap. Pelbagai sensor dan kamera digunakan termasuk unit LiDAR yang dipasang pada bahagian bumbung bagi menyokong fungsi pemanduan pintar generasi terkini.

Di China, Zeekr 9X ditawarkan pada harga antara 465,900 hingga 599,900 yuan, bersamaan sekitar RM280,000 hingga RM360,000. Namun begitu, harga untuk pasaran Malaysia dijangka jauh lebih tinggi kerana model ini menggunakan sistem plug-in hybrid yang tertakluk kepada struktur duti eksais berbeza berbanding kenderaan elektrik sepenuhnya.

Perlu diingatkan bahawa unit yang dipamerkan di KLIMS merupakan versi pemanduan kiri yang diimport dari China dan tidak semestinya menggambarkan spesifikasi akhir untuk pasaran tempatan. Zeekr Malaysia dijangka akan mengumumkan maklumat lanjut termasuk spesifikasi rasmi serta harga sebenar menjelang pelancaran nanti.