Proton X50 Sport Edition 2026 ditunjuk di KLIMS 2026 — ditambah kemasan, ditawar kepada umum nanti?

Proton X50 Sport Edition 2026 kini mula ditunjuk di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (KLIMS 2026), dan menggunakan asas daripada SUV segmen-B syarikat itu dari versi yang dinaik taraf dan dilancarkan pada Julai tahun lalu, yang kini diberi beberapa sentuhan kelainan.

Dengan estetika hitam gelap seperti yang pernah dilihat dilakukan terhadap X70 Sport Edition, X50 Sport Edition dipertontonkan dengan warna luaran hitam yang menggantikan bahagian kemasan warna perak kesat yang pada untuk X50 biasa.

Sementara itu, kemasan merah — seperti yang dilihat di bahagian kemasan gril model standard – juga terdapat di bahagian splitter hadapan, skirting sisi dan diffuser belakang. Spoiler belakang yang agak menonjol itu adalah standard untuk X50 Flagship.

Pendekatan Sport Edition untuk X50 terkini ini sama sahaja seperti versi sebelumnya yang pernah ditunjukkan ketika KLIMS 2024. Seperti model sebelumnya, Edisi Sport terbaru ini belum tersedia untuk dibeli ketika ini, walaupun ia mungkin akan mula dijual secara rasmi kelak.

Proton X50 Sport Edition 2026 ditunjuk di KLIMS 2026 — ditambah kemasan, ditawar kepada umum nanti?

Varian X50 mana yang akan menjadi asas kepada Sport Edition ini masih belum dinyatakan. Ia tidak semestinya berdasarkan varian teratas, kerana Sport Edition sebelum ini adalah berdasarkan varian Premium dan bukannya varian Flagship dengan enjin yang lebih berkuasa dalam barisan X50 pada masa itu.

Ruang dalamannya masih belum boleh ditinjau. Tetapi, berdasarkan penawaran sama yang terdahulu, boleh dijangka tema warna hitam dan merah akan digunakan untuk bahagian kabin, agar sepadan dengan estetika luarannya.

Bagi X50 semasa, yang menjana kuasanya ialah unit enjin 1.5 liter BHE15TD pengecas turbo dengan suntikan terus, yang menghasilkan 181 PS pada 5,500 rpm dan tork 290 Nm antara 2,000 rpm dan 3,500 rpm. Ia memacu roda hadapan melalui transmisi automatik klac berkembar basah tujuh-kelajuan.

Tiga varian Proton X50 facelift dijual ketika ini — 1.5TD Executive dengan harga RM89,900, 1.5TD Premium dengan harga RM101,800, dan 1.5TD Flagship dengan harga RM113,300.

Tags: