Proton akan memperkenalkan X50 Sport Edition semasa Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) yang bakal berlangsung beberapa hari lagi. Edisi khas ini dibangunkan berasaskan model X50 facelift yang telah dilancarkan pada Julai tahun lalu.
Menerusi perkongsian di media sosial Proton, X50 Sport Edition tampil dengan beberapa perubahan kosmetik yang memberikan imej lebih sporty dan agresif. Antara pembaharuan utama ialah kit badan khas dengan kemasan hitam berkilat pada beberapa komponen yang sebelum ini menggunakan kemasan perak matte pada X50 standard. Selain itu, beberapa elemen kit badan turut menerima perincian merah bagi menyerlahkan lagi penampilannya.
Berdasarkan pendekatan yang digunakan pada X70 Sport Edition yang diperkenalkan pada April lalu, X50 Sport Edition juga berkemungkinan akan dilengkapi rim berwarna hitam bagi melengkapkan tema luaran yang lebih garang. Untuk rekod, selepas kemunculan X50 Black Edition dalam jumlah terhad Mac lalu, warna Quartz Black telah dimasukkan dalam pilihan warna standard untuk X50 facelift.
Dari sudut mekanikal, X50 Sport Edition dijangka mengekalkan spesifikasi sama seperti X50 facelift. Model tersebut dikuasakan oleh enjin petrol 1.5 liter turbo suntikan terus BHE15TD yang menghasilkan 181 PS dan 290 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.
Selain X50 Sport Edition, Proton turut akan mempamerkan barisan model semasa syarikat itu di KLIMS 2026. Pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai teknologi baharu yang bakal menjadi sebahagian daripada hala tuju mobiliti masa depan jenama nasional tersebut.
GALERI: Proton X50 1.5TD Flagship 2025


















































































































































































































