Mitsubishi Eclipse Sportback 2027 ditunjuk – nama ikonik kembali sebagai EV, rebadge dari Nissan Leaf

Selain dari Lancer Evolution dan GTO, Eclipse merupakan salah satu nama yang akan mengingatkan kita terhadap model-model prestasi dari Mitsubishi, terutamanya apabila model coupe dua pintu tersebut membintangi filem Hollywood The Fast and The Furious yang muncul di layar perak pada 2001.

Eclipse diproduksi bermula pada tahun 1989, dan ditamatkan selepas empat generasi pada tahun 2012. Kemudian pada 2017, nama ‘Eclipse’ muncul kembali namun bukan sebagai sebuah coupe, sebaliknya telah ‘disumpah’ menjadi model SUV dan digelar sebagai Eclipse Cross.

Mitsubishi sekali lagi menggunakan nama Eclipse pada tahun lalu pada sebuah SUV elektrik penuh untuk pasaran Eropah iaitu Eclipse Cross EV, yang sebenarnya adalah model rebadge dari Renault Scenic E-Tech. Dan sekarang, Mitsubishi lagi sekali menggunakan nama Eclipse, kali ini untuk model yang hanya dijual untuk pasaran Amerika Utara – ini dia, Mitsubishi Eclipse Sportback EV 2027.

Mitsubishi Eclipse Sportback 2027 ditunjuk – nama ikonik kembali sebagai EV, rebadge dari Nissan Leaf

Macam pernah nampak kan? Ya, Mitsubishi langsung tidak berselindung kerana dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan ia sendiri menyatakan bahawa Eclipse Cross EV ini adalah model rebadge dari Nissan Leaf generasi ketiga. Model ini hanya akan mula dijual pada akhir musim panas atau awal musim luruh nanti, dan lebih perincian berkenaannya juga akan diumumkan hampir dengan tarikh pelancarannya nanti.

Buat masa sekarang Mitsubishi hanya menyiarkan tiga gambar rasmi untuk bahagian luaran Eclipse Sportback EV berkenaan, dan menyatakan ia menerima sentuhan kosmetik pada bahagian muka, belakang dan juga rekaan rim bagi membezakannya dengan Nissan Leaf.

Menerusi gambar yang disiarkan tersebut kita boleh lihat bahawa Eclipse Sportback ini masih diberikan lampu hadapan dengan perumah berbentuk-J seperti Leaf, namun ia diberikan grafik LED berbeza, serta bahagian ‘gril’ dan juga rekaan bampar hadapan yang berbeza sepenuhnya.

Mitsubishi Eclipse Sportback 2027 ditunjuk – nama ikonik kembali sebagai EV, rebadge dari Nissan Leaf

Begitu juga di belakang, bentuk perumah lampu seakan sama tetapi dibezakan dengan grafik nyalaan LED serta rekaan bampar belakang yang nampak lebih ‘sibuk’. Eclipse Sportback ini juga tampil dengan rekaan rim aloi berbeza dari Leaf dengan rekaan yang nampak seperti bentuk segi-tiga.

Bagi Nissan Leaf generasi ketiga, ia dihasilkan berasaskan platform Common Module Family (CMF-EV). Leaf masih menampilkan konfigurasi motor tunggal pacuan roda hadapan, namun bgai model generasi baharu ini ditawarkan dalam dua pilihan motor iaitu varian asas dengan motor berkuasa 177 PS (130 kW) dan tork 345 Nm, serta varian lebih tinggi berkuasa 218 PS (160 kW) dan tork 355 Nm.

Untuk varian asas, ia menerima bateri 52 kWj bagi memberikan jarak gerak 436 km dalam kitaran WLTP, manakala varian lebih berkuasa pula diberikan bateri 75 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 604 km WLTP. Manakala untuk mengecas, boleh menerima pengecas pantas DC dari 50 kW sehingga 150 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 10%-80% dalam masa 35 minit.