Seperti yang kita tahu, Geely sudahpun bertapak di Indonesia tahun lalu dengan memperkenalkan dua model EV iaitu EX5 (kembar Proton eMas 7) dan juga EX2 (kembar Proton eMas 5), di mana kedua-dua model ini turut dipasang secara tempatan (CKD) menerusi kilang baharu jenama China itu yang terletak di Bekasi.
Dan tak lama lagi, Geely bakal memperkenalkan model dengan enjin pembakaran dalaman pertamanya di sana, dimulakan dengan SUV segmen-B Geely Coolray. Seperti yang kita tahu, Coolray bukanlah model baharu dari Geely di mana ia sudah mula dijual di China sejak 2018 dengan nama Geely Binrui, serta telah dijelmakan sebagai Proton X50 di Malaysia dan dilancarkan pada 2020.
Laporan dari Otodriver menyatakan bahawa Coolray bakal dilancarkan secara rasmi di Indonesia semasa berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026 hujung bulan ini, dan mengesahkan bahawa Coolray pasaran Indonesia adalah diimport sepenuhnya dari Malaysia, bukan CKD Indonesia. Malah menerusi beberapa foto sesi pandu uji media di Litar Mandalika yang tular di media sosial juga menunjukkan jelas plat VIN pada Coolray berkenaan adalah dari kilang Proton Tanjong Malim.
Dan Coolray pasaran Indonesia ini juga adalah seiras dengan model pasaran Afrika Selatan yang dilancarkan pada bulan lalu, di mana ia menampilkan rupa luaran Proton X50 pre-facelift yang digandingkan dengan set rim, spoiler belakang kabin dan juga unit rangkaian kuasa dari X50 facelift terbaharu. Ini menguatkan lagi jangkaan kami bahawa Geely Coolray pasaran Afrika Selatan juga dihasilkan oleh Proton di Malaysia.
Ini bermakna bahagian luaran Coolray 2026 pasaran Indonesia ini diberikan bampar dan lampu hadapan, serta bampar, lampu dan pintu tailgate belakang yang sama seperti Proton X50 keluaran 2020, namun sedikit pelik kerana ia tidak menampilkan empat tip ekzos yang menonjol seperti X50.
Manakala pada bahagian dalaman, Coolray pasaran Indonesia diberikan papan pemuka minimalis sama dengan Proton X50 facelift iaitu dengan menampilkan skrin leper untuk paparan instrumen digital serta tombol gear konvensional yang digantikan dengan pemilih gear pada kolum stereng – sebelum ini Proton menyatakan bahawa bahagian dalaman ini direka semula sendiri, bukan diambil dari mana-mana versi Geely.
Antara perincian yang disahkan untuk Geely Coolray 2026 pasaran Indonesia ini termasuk tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala, bumbung suria panaromik, pengecas tanpa wayar Qi, kamera 360-darjah dengan fungsi grafik telus cahaya, brek kecemasan automatik serta cruise control adapatif – di mana semua ini telahpun ditawarkan pada X50 di Malaysia.
Seperti yang disebut tadi, unit rangkaian kuasa bagi Coolray Indonesia ini juga adalah sama dengan versi terkini Proton X50 di Malaysia, menampilkaa enjin 1.5 liter empat-silinder TGDI berkuasa 181 PS (128 kW) dan tork maksima 290 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 ssat.
Harga bagi Geely Coolray 2026 ini hanya akan diumumkan ketika pelancarannya nanti. Anda rasa ia akan dijual lebih murah atau lebih mahal berbanding Proton X50 di Malaysia?
GALERI: Geely Coolray 2026 pasaran Afrika Selatan

