Selepas melancarkan model-model yang digerakkan oleh tenaga baharu (NEV) termasuk Geely E5, E5 EM-i (PHEV) dan juga E2, Geely Afrika Selatan kini melancarkan pula model dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya ke pasaran itu, bermula dengan SUV segmen-B Geely Coolray.
Di Afrika Selatan Geely Coolray ditawarkan dalam tiga varian iaitu Coolray 1.5T Nova berharga R369,900 (sekitar RM93k), Coolray 1.5T Vanguard R399,900 (RM101k) dan Coolray 1.5T Vertex berharga R429,900 (RM108k). Setiap pembelian datang sekali dengan perlindungan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.
Ini bermakna Afrika Selatan menjadi pasaran pertama yang menyaksikan Geely Coolray berhadapan dengan kembarnya iaitu Proton X50, di mana model yang datang dari Tanjong Malim berkenaan sudahpun dilancarkan di sana pada 2022. X50 dijual di Afrika Selatan dalam empat varian, bermula varian asas Standard berharga R450,000 (RM113k), Luxury pada harga R500,000 (RM126k), Executive pada harga R525,000 (RM132k) dan varian tertinggi Premium berharga R550,000 (RM138k).
Berbanding Proton X50 yang masih menggunakan enjin 1.5 liter tiga-silinder TGDI di sana, Geely Coolray pula terus ditawarkan dengan enjin 1.5 liter empat-silinder TGDI yang sama seperti X50 facelift pasaran Malaysia. Geely menyatakan bahawa enjin berkenaan ditala bagi menghasilkan kuasa 174 PS (128 kW) dan tork maksima 290 Nm, agak sedikit rendah dari kuasa pada enjin i-GT Proton yang mencatatkan 133 kW (181 PS)/290 Nm.
Namun pecutan 0-100 km/j Coolray ini adalah sama seperti X50 facelift di Malaysia iaitu 7.6 saat dengan kuasa dipacu hanya pada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT.
Pada bahagian luaran, Coolray Afrika Selatan ini masih tampil dengan rupa yang sama seperti Proton X50 sebelum facelift, iaitu menggunakan bampar dan lampu hadapan, serta bampar, lampu dan pintu tailgate belakang yang sama seperti Proton X50 yang dijual di negara tersebut sekarang. Cuma rekaan rim aloi diambil dari versi facelift terbaharu seperti X50 di Malaysia.
Walau bagaimanapun, pada sebelah dalam Coolray pasaran Afrika Selatan ini menampilkan papan pemuka yang sama dengan X50 facelift, menampilkan skrin sesentuh 14.6-inci untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital dengan skrin 8.8 inci standard untuk semua varian.
Bagi perincian lain, varian Nova menerima rim aloi 17-inci, upholsteri fabrik, empat pembesar suara, lampu hadapan LED automatik, cruise control, penderia parkir belakang, kamera undur, sistem pemantau angin tayar, dan juga empat beg-udara.
Varian Vanguard pula datang dengan rim 18-inci, warna badan dua tona dengan bumbung dalam kemasan hitam, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk pemandu larasan kuasa, lampu suasana kabin dengan 72-warna, enam pembesar suara, kamera 540-darjah dan juga enam pembesar suara.
Manakala varian tertinggi Vertex ditambah dengan bumbung suria panaromik, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, pad pengecas telefon pintar tanpa wayar, upholsteri kulit sintetik kemasan hitam-merah yang nampak lebih sporty, spoiler bumbung belakang lebih besar dan juga fungsi penuh sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).
Dengan kehadiran Coolray dengan harga lebih rendah ini (sudah tentu Geely mampu menawarkan harga lebih murah dengan skala pengeluaran yang jauh lebih besar berbanding Proton) telah memberikan gambaran yang jelas berkenaan situasi Proton di Afrika Selatan yang dilaporkan ‘tenat’ dan operasinya bakal dihentikan.
Pengedar Proton di Afrika Selatan, Combined Motor Holdings (CMH) Group sebelum ini telah menyatakan bahawa model-model Proton yang dijual tidak mempunyai masalah untuk diterima dalam pasaran dan kadar tuntutan waranti juga rendah, tetapi jualan rendah yang dicatatkan adalah kerana harga yang tidak kompetitif ditawarkan, mengambil kira kos yang tinggi untuk mengeksport kereta-kereta Proton ke Afrika Selatan memakan kos yang tinggi.


kena scam dgn geely