Antara model baru yang paling dinantikan pada tahun ini ialah smart #2, sebuah kereta bandar dua tempat duduk yang dianggap sebagai pewaris moden kepada model ikonik smart fortwo. Selepas muncul buat pertama kali di Rome, kini smart mula mendedahkan beberapa maklumat awal mengenai model kompak tersebut menjelang pelancaran rasminya di Paris pada penghujung tahun ini.
smart #2 dibangunkan berasaskan platform Electric Compact Architecture (ECA) baru yang direka dengan ciri modular dan boleh dikembangkan untuk pelbagai konfigurasi kenderaan pada masa hadapan. Platform ini turut dibangunkan bagi memastikan kereta tersebut bukan sahaja sesuai digunakan di kawasan bandar, malah mampu menawarkan tahap penggunaan yang lebih baik untuk perjalanan jarak lebih jauh.
Walaupun mempunyai dimensi yang sangat kompak, smart berjaya memuatkan pek bateri berkapasiti 35.7 kWh dalam badan yang mempunyai jarak roda pendek. Kapasiti ini sebenarnya lebih besar berbanding varian asas Proton eMas 5 Prime dan membolehkan smart #2 mencapai sasaran jarak perjalanan sekitar 300 km mengikut kitaran WLTP, hampir menyamai angka yang ditawarkan oleh Proton eMas 5 Premium.
Dari segi pengecasan, smart mendakwa bateri tersebut boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC dari 10 hingga 80 peratus dalam tempoh kurang daripada 20 minit. Selain itu, model sepanjang 2,792 mm ini turut menawarkan radius pusingan yang sangat kecil, iaitu hanya 6.95 meter dari tepi ke tepi, sekaligus menjadikannya amat sesuai untuk pemanduan dan parkir di kawasan bandar yang sempit.
Satu lagi elemen yang dikekalkan ialah penggunaan struktur keselamatan tridion generasi baru. Struktur badan yang diperkukuhkan ini merupakan salah satu ciri paling sinonim dengan smart fortwo sebelum ini, membantu mengekalkan tahap keselamatan pelanggaran walaupun pada saiz kenderaan yang kecil. Walaupun tidak lagi ditonjolkan secara visual pada reka bentuk luaran, struktur tersebut telah dinaik taraf bagi memenuhi piawaian keselamatan moden.
smart turut berkongsi gambaran awal ruang kabin Concept #2 yang direka oleh pasukan reka bentuk Mercedes-Benz. Lakaran yang didedahkan menunjukkan papan pemuka berbentuk S yang memanjang ke arah penumpang hadapan, lengkap dengan corong penyaman udara berinspirasikan turbin jet. Menariknya, lakaran tersebut tidak memaparkan sebarang skrin digital, walaupun model produksi sebenar dijangka akan dilengkapi sekurang-kurangnya dua paparan.
Reka bentuk tempat duduk juga agak unik apabila kedua-dua penumpang ditempatkan pada satu bangku panjang yang seakan-akan bersambung. Namun begitu, bahagian tengah sebenarnya berfungsi sebagai konsol yang menyediakan ruang simpanan serta kawalan tingkap, mirip konsep yang digunakan pada Volvo EX30. Menurut smart, susun atur ini diwujudkan untuk menghapuskan pemisah konvensional antara pemandu dan penumpang, sekaligus mewujudkan suasana kabin yang lebih terbuka dan praktikal.
Di Malaysia, jenama smart diwakili oleh Pro-Net, anak syarikat Proton, memandangkan kedua-dua syarikat mempunyai kaitan pemilikan melalui Geely. Dengan Proton sebelum ini dilaporkan sedang menilai kemungkinan pemasangan tempatan (CKD) untuk model-model smart, berkemungkinan bergantung kepada pembukaan kilang EV barunya di Tanjung Malim, tidak mustahil smart #2 turut dipertimbangkan untuk pasaran tempatan pada masa hadapan sebagai alternatif dua tempat duduk yang lebih premium berbanding Proton eMas 5.


