BHPetrol umum pemenang Peraduan Beli dan Menang, Mencari ‘OKB’ – empat hadiah utama Proton Saga

BHPetrol baru-baru ini mengumumkan senarai pemenang bagi kempen Peraduan Beli dan Menang, Mencari ‘OKB’ (Orang Kaya Baru) dalam satu majlis yang berlangsung di ibu pejabat syarikat di Menara Surian. Kempen tersebut berlangsung dari 1 Februari hingga 31 Mac lalu dan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM300,000 kepada para pelanggan bertuah.

Peraduan ini terbuka kepada semua ahli BHPetrol eCard. Untuk menyertai kempen tersebut, pelanggan hanya perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM20 dalam satu transaksi sama ada untuk pembelian bahan api atau barangan runcit di stesen BHPetrol. Setiap transaksi yang layak akan memberikan satu penyertaan secara automatik.

Secara keseluruhan, seramai 27 pemenang telah dipilih untuk menerima pelbagai hadiah menarik. Empat pemenang utama membawa pulang sebuah Proton Saga Executive berserta 200,000 ePoints setiap seorang. Selain itu, empat lagi pemenang memenangi sebuah motosikal Yamaha Ego Avantiz bersama 100,000 ePoints.

Sementara itu, tiga pemenang lain menerima hadiah berupa iPhone 17 Pro dan 50,000 ePoints. Baki 16 pemenang pula masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,500.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Fardzi Shah Razali, penganjuran peraduan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam menghargai sokongan pelanggan serta meningkatkan pengalaman pengguna di rangkaian stesen minyak BHPetrol di seluruh negara.

Beliau berkata BHPetrol sentiasa komited untuk menawarkan produk berkualiti dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, selain terus memperkukuhkan pengalaman pengguna di setiap stesen minyak di bawah rangkaiannya.

Menurut beliau, penganjuran peraduan seperti ini bukan sahaja bertujuan menghargai kesetiaan pelanggan, malah menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memilih BHPetrol sebagai stesen minyak pilihan dalam urusan harian mereka.

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pengusaha stesen BHPetrol yang sentiasa komited dalam memastikan tahap perkhidmatan dan kepuasan pelanggan berada pada tahap terbaik. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan strategik syarikat atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sehingga menjayakan kempen tersebut.