Hongqi Global SUV ditunjuk di Hong Kong – SUV EV guna asas Leapmotor B10 akan tiba di Malaysia?

Gambar dari Autohome

Jenama automotif mewah China, Hongqi, terus memperkukuhkan cita-citanya untuk menembusi pasaran global apabila memperkenalkan model Global SUV di International Automotive and Supply Chain Expo yang berlangsung di Hong Kong.

Model tersebut sebelum ini membuat penampilan sulung di Auto China 2026 di Beijing dan kehadirannya dalam versi pemanduan sebelah kanan di Hong Kong memberi petunjuk bahawa ia bakal ditawarkan di beberapa pasaran lain yang menggunakan konfigurasi sama, termasuk Malaysia.

Hongqi merupakan jenama automotif tertua di China dan terkenal sebagai pengeluar kenderaan rasmi pemimpin negara itu, termasuk presiden. Walaupun peranan tersebut masih diteruskan, model-model paling mewah Hongqi kini ditempatkan di bawah sub-jenama Golden Sunflower. Malah, jenama itu turut mempunyai kaitan dengan Malaysia apabila sebuah unit Hongqi Guoli, yang sebelum ini dikenali sebagai L5, telah dihadiahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar.

Bagi pasaran antarabangsa pula, Hongqi kini lebih memberi tumpuan kepada model tenaga baru atau NEV (New Energy Vehicle). Langkah itu turut melibatkan Malaysia apabila syarikat induknya, FAW, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Quill Automotive menjelang Auto China bagi tujuan pengimportan dan pengedaran kenderaan Hongqi di negara ini. Pelancaran rasmi jenama tersebut dijangka berlangsung sekitar pertengahan 2026.

Hongqi Global SUV ditunjuk di Hong Kong – SUV EV guna asas Leapmotor B10 akan tiba di Malaysia?

Salah satu model yang dijangka memainkan peranan penting dalam pengembangan tersebut ialah Global SUV. Dari segi reka bentuk, model ini menampilkan identiti tersendiri menerusi jalur merah dan krom pada bonet yang menjadi tanda unik Hongqi, lampu utama jenis berasingan dengan lampu nyalaan siang berbentuk kening, kemasan gril bawah yang lebar serta lampu belakang penuh merentasi bahagian belakang kenderaan.

Namun begitu, pemerhatian lebih teliti menunjukkan bahawa Global SUV berkongsi banyak persamaan dengan Leapmotor B10 yang telah pun dilancarkan di Malaysia. Bentuk badan yang kompak, rekaan tingkap yang tegak serta bentuk tingkap suku belakang yang khas menunjukkan kedua-dua model ini dibangunkan daripada asas yang sama.

Malah, beberapa komponen seperti struktur badan utama, bonet dan cermin sisi juga dilihat dikongsi bersama, dengan perbezaan utama hanya melibatkan pemegang pintu dan beberapa elemen kemasan luaran.

Perkongsian platform tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan FAW telah mengambil pegangan sebanyak lima peratus dalam Leapmotor pada penghujung tahun lalu. Model pertama yang menggunakan lencana Hongqi berasaskan teknologi Leapmotor dijangka mula dikeluarkan pada separuh kedua tahun 2026. Global SUV pula dijadualkan dilancarkan di Hong Kong pada suku keempat tahun ini sebelum diperkenalkan ke pasaran lain sekitar 2027.

Hongqi Global SUV ditunjuk di Hong Kong – SUV EV guna asas Leapmotor B10 akan tiba di Malaysia?

Setakat ini, Hongqi masih belum mendedahkan spesifikasi rasmi model tersebut. Namun, CarNewsChina menyatakan bahawa Global SUV berkemungkinan menggunakan seni bina elektrik 800 volt yang membolehkan pengecasan lebih pantas berbanding Leapmotor B10.

Terdapat juga khabar angin mengenai kemungkinan penawaran sistem rangkaian kuasa range extender serta dimensi yang lebih besar, sekaligus menimbulkan spekulasi bahawa model yang diperkatakan mungkin sebenarnya berasaskan Leapmotor C10.

Sekiranya Global SUV benar-benar menggunakan asas Leapmotor B10, model itu dijangka menawarkan konfigurasi yang sama, termasuk motor elektrik tunggal pacuan roda belakang yang menghasilkan 218 PS dan 240 Nm tork. Ia juga berkemungkinan ditawarkan dengan pilihan bateri LFP berkapasiti 56.2 kWh dan 67.1 kWh yang masing-masing mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 361 km dan 434 km mengikut piawaian WLTP.

Perkembangan ini turut memberi kelebihan kepada Hongqi di Malaysia memandangkan Leapmotor B10 dijadualkan dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Stellantis di Gurun, Kedah dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Jika Hongqi berjaya mencapai kerjasama yang sesuai dengan Stellantis, Global SUV berpotensi dipasang di Malaysia dengan perubahan minimum pada kemudahan pengeluaran, sekaligus membolehkan model tersebut menikmati struktur cukai yang lebih kompetitif.

Hongqi Global SUV ditunjuk di Hong Kong – SUV EV guna asas Leapmotor B10 akan tiba di Malaysia?

Selain Global SUV, Hongqi turut mempamerkan dua lagi model pemanduan sebelah kanan di Hong Kong, iaitu EHS5 dan E-HS9. EHS5 merupakan SUV bersaiz sederhana yang tampil dengan rekaan moden dan mempunyai sedikit persamaan visual dengan Deepal S07, manakala E-HS9 pula menampilkan imej lebih mewah dan eksklusif yang lebih dekat dengan identiti model-model Golden Sunflower.

Dijual di China dengan nama Tiangong 06, Hongqi EHS5 ditawarkan dengan beberapa pilihan rangkaian kuasa. Varian pacuan roda belakang menghasilkan 286 PS dan 317 Nm tork, manakala versi pacuan semua roda dengan dua motor elektrik mampu menjana sehingga 560 PS dan 623 Nm. Pilihan bateri pula merangkumi unit LFP berkapasiti 62 kWh dan 85 kWh, selain bateri NMC 98 kWh.

Bergantung kepada spesifikasi, model ini mampu menawarkan jarak perjalanan antara 520 km hingga 780 km mengikut kitaran CLTC China, atau sekitar 420 km hingga 640 km berdasarkan piawaian WLTP yang lebih ketat. Sistem pengecasan pantas DC sehingga 454 kW turut membolehkan bateri dicas dari 20 hingga 80 peratus dalam tempoh hanya 12 minit.

Sementara itu, Hongqi E-HS9 kekal sebagai model SUV flagship jenama tersebut. Di pasaran Singapura, ia ditawarkan dengan konfigurasi dua motor elektrik pacuan semua roda yang menghasilkan 492 PS dan 606 Nm tork. Model ini menggunakan bateri NMC berkapasiti 120 kWh yang membolehkannya mencapai jarak perjalanan sehingga 570 km mengikut piawaian WLTP. Walaubagaimanapun, penggunaan seni bina elektrik 400 volt mengehadkan kadar pengecasan pantas DC kepada 140 kW sahaja, menyebabkan proses pengecasan dari 10 hingga 80 peratus mengambil masa sekitar 40 minit.

GALERI: Hongqi Global SUV


GALERI: Hongqi EHS5

Tags: , ,