Art of Speed 2026 – 1 hingga 2 Ogos, edisi ulangtahun ke-15; paling padat dalam sejarah penganjuran

Acara tahunan Kustom & Counter Culture terbesar di Malaysia, Art of Speed (AOS) bakal kembali dianjurkan pada 1 hingga 2 Ogos ini bermula jam 10 pagi hingga 7 malam, seperti biasa ia akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. Edisi 2026 yang diadakan bagi meraikan ulangtahunnya yang ke-15 ini mengangkat “Summer Festival – Kustom Bergaya” sebagai tema.

Tahun ini AOS masih akan dilangsungkan di keempat-empat dewan MAEPS yang merangkumi ruang dalaman seluas 452,084 kaki persegi serta kawasan luar mencecah 320 ekar – bukan yang terluas, namun penganjur menjanjikan bahawa tahun ini merupakan edisi yang paling padat dengan aktiviti.

Untuk tahun ini AOS telah mengesahkan beberapa tetamu, VIP dan antarabangsa yang akan bertandang antaranya Emi Suganuma, Michihisa “NATQQ” Shinotsuka & Sohei Murakami dari Mooneyes Jepun, Wataru Kato from Liberty Walk Jepun, Scott Walker dari DicE Magazine Amerika Syarikat, Bangkok Hot Rod Show Thailand, Kustomanila Filipina, Borneo Kustom Show Brunei, Kustomfest Indonesia dan ramai lagi.

Pengunjung juga bakal menyaksikan pelbagai kereta dan motosikal kustom eksklusif dari dalam dan luar negara pada AOS 2026. Antaranya adalah motosikal vintaj 1945 Harley-Davidson Knucklehead Hawgholic dari Tokyo, Harley-Davidson Shovelhead 1966 milik Vise Clothing dari Nagoya, serta banyak lagi kereta kustom yang di bawa dari Bangkok, Thailand dan Taiwan.

Manakala untuk AOS Invitational Build-Off, tahun ini menyaksikan persaingan sengit antara lapan pembina motosikal kustom elit tempatan berentap untul merebut hadiah wang tunai serta peluang keemasan bagi membawa jentera mereka ke pentas dunia iaitu ke The 34th Yokohama Hot Rod Custom Show 2026 di Jepun. Lapan pembina yang terpilih tersebut adalah Chaos Custom, Valley Machines, Rocketeer Custom Art, Bad Soul Cycle Custom, Mujo Joros, AR Choppers, Fazben Custom dan Sedarah MC.

Untuk peminat model die-cast skala kecil, AOS sekali lagi menjadi platform penganjuran Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) yang telah masuk tahun keempat kali ini. Model eksklusif HWCCCM 2026 telahpun didedahkan hari ini, di mana ia diasaskan dari Nissan Skyline GT-R R34 V-Spec II.

Untuk konvensyen tahun ini, ia akan disertai oleh Ketua Pereka Produk untuk Hot Wheels Premium iaitu Ronald Wong yang diterbangkan khas dari Amerika Syarikat. Malah dalam dewan yang sama turut akan berlangsung sekali perhimpunan Nissan Skyline GT-R R34 sebenar dengan kerjasama Malaysia Skyline Owners Club (MSOG).

Selain Hot Wheels, beberapa model die-cast eksklusif lain turut akan didedahkan dan dijual ketika berlangsungnya AoS 2026 ini termasuk Porsche RWB dari Tarmac Works, Nissan Skyline R34 kolobrasi Kyosho dan Mooneyes dan juga Nissan Skyline R34 Liberty Walk dari Mini GT.

Tak lengkap AOS tanpa persembahan muzik bukan? Tahun ini SoundCircus Festival (SCF) bakal mencatatkan rekod baharu dengan menampilkan enam pentas untuk satu festival selama dua 2 hari, 1 Festival. Antara barisan artis tempatan dan antarabangsa yang bakal membuat persembahan termasuk kolaborasi eksklusif Ella x Cokelat, Jemput Dengar featuring Sheila Majid, Nadin Amizah, Disagree, Johnny Pandora, Dannqrack & Eemrun, Tenxi, dan Hari Slatan. Lebih istimewa, festival tahun ini turut meraikan 20 Tahun Hujan serta penghormatan khas 30 Tahun Asian Hardcore! Konsert-konsert SCF ini akan berlangsung bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam pada kedua-dua hari AOS 2026 berlangsung.

Semua pengunjung AOS 2026 berpeluang untuk merebut hadiah lumayan terkumpul berjumlah RM80,000 dan juga beberapa kenderaan ubahsuai menerusi aktiviti ‘Kembara Passport’ AOS 2026. Aktiviti ini dibuka kepada semua pemegang tiket tanpa mengira kategori – selepas menerima ‘passport’ masing-masing, pengunjung hanya perlu mengunjungi reruai korporat serta rakan penaja untuk menyelesaikan tugasan mudah bagi mengumpul cap (stamp).

Pengunjung yang berjaya melengkapkan kesemua 24 cap berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik keseluruhan bernilai RM80,000 serta pakej pelancongan eksklusif bersama Art of Speed Malaysia, dan dua pemenang bertuah bakal membawa pulang hadiah utama berupa sebuah motosikal kustom daripada Thunder Motorcycles dan sebuah SUV Honda HR-V generasi pertama (model lima-pintu yang sangat rare!) yang diubah suai khas oleh Qartel TV, serta sebuah Vespa S 125 daripada Vespa Malaysia.

“Sambil kita melangkah megah ke tahun ke-15 penganjuran Art of Speed, saya rasa amat bersyukur atas sokongan padu tanpa berbelah bahagi daripada para peminat, komuniti, dan rakan media. Edisi tahun ini melambangkan realisasi kepada sebuah impian yang lama dipendam – memayungi sebuah festival bertaraf dunia yang menyatukan kelestarian gaya hidup automotif dan kemuncak festival muzik langsung secara harmoni,” kata Asep Ahmad Iskandar, Pengarah Festival Art of Speed Malaysia (AOSM).

Keberhasilan ini tidak mungkin tercapai tanpa komitmen luar biasa daripada tonggak utama pasukan kami, yang telah bertungkus-lumus bekerjasama dengan para rakan strategik demi merencana kejayaan ini. Malah, kami amat teruja untuk mengumumkan kehadiran sulung firma lagenda Liberty Walk di pentas AOS – sebuah lakaran sejarahbaharu buat landskap Kustom Kulture di rantau ini,” tambahnya.

Tiket Art of Speed 2026 kini sudahpun boleh mula dibeli dalam talian dan penganjur menawarkan pakej harga istimewa Early Bird untuk pembeli-pembeli terawal Pas Hujung Minggu (Weekend Pass) pada harga RM35 (sementara stok masih ada). Manakala bagi harga tiket di kaunter pula ditetapkan pada RM40. Kanak-kanak di bawah 12 tahun serta pemegang kad OKU kemasukan adalah percuma.

Untuk SoundCircus Festival, tiket umum (SCF General Admission) dijual pada harga RM149.00 (pembelian berkumpulan RM135.00 seorang, minimum 3 pax). Tiket Rockzone pula dijual pada harga RM199.00 (pembelian berkumpulan RM189.00 seorang, minimum 3 pax), manakala pas masuk sehari (SCF General Admission) dijual pada harga RM89.00

Bagi pengunjung yang mahu lebih selesa, pas Valet VIP Parking turut disediakan pada harga RM30 (bayaran tunai atau QR sahaja pada hari acara). Kemudahan ini membolehkan kenderaan diparkir di Aras Bumi, Dewan D, dan tiket sah untuk kemasukan satu hari sahaja.