Sistem pembayaran tol JustGO diperluaskan ke enam lagi plaza tol NSE, Lebuhraya SPDH, LINKEDUA

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan sistem pembayaran tol terbuka JustGO berasaskan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) kini telah diperluaskan ke enam lagi plaza tol mulai hari ini.

Pengaktifan terbaharu ini melibatkan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA). Plaza tol berkenaan ialah Plaza Tol Mambau dan Lukut di SPDH, Plaza Tol Kempas di NSE, serta Plaza Tol Tanjung Kupang, Lima Kedai dan Perling di LINKEDUA.

“Pengguna yang telah mendaftar boleh membayar tol menggunakan nombor plat kenderaan dan menikmati #LANE FREEDOM di plaza tol yang telah diaktifkan. Mereka bebas masuk dan keluar melalui mana-mana lorong yang tersedia dan tidak lagi perlu menggunakan lorong khusus mengikut kaedah pembayaran sedia ada.

“Kamera ANPR akan membaca nombor plat kenderaan berdaftar dan memproses bayaran tol melalui kad pembayaran yang dipautkan dalam aplikasi JustGO. Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi, mendaftar akaun dan kenderaan, serta memautkan kad pembayaran,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan,

JustGO mula diperkenalkan di NSE kendalian PLUS melalui pelaksanaan projek rintis awam di sembilan plaza tol antara Hutan Kampung dan Sungai Dua pada Januari 2026. Pelaksanaannya kemudian diperluas ke Plaza Tol Jitra di NSE, serta Plaza Tol Lunas dan Kubang Semang di Lebuhraya Butterworth-Kulim pada Jun 2026.

Menurut PLUS, pengaktifan di wilayah selatan meneruskan peluasan JustGO dalam rangkaian lebuh raya PLUS, sebelum pelaksanaannya diperluas ke semua plaza tol kendalian PLUS mulai Ogos 2026.