Sistem pembayaran tol JustGO diperluas ke Lembah Klang, seluruh jajaran Lebuhraya PLUS mulai Ogos ini

Sistem pembayaran tol terbuka JustGO berasaskan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) akan diperluaskan secara berperingkat ke sekitar Lembah Klang dan seluruh jajaran Lebuhraya Utara-Selatan bermula Ogos ini. Peluasan ini dijangka akan memberi manfaat kepada 1.8 juta hingga dua juta pemandu setiap hari, kata jurucakap JustGO, Peter Lee.

Menurut beliau, ia adalah susulan kejayaan sistem pembayaran tol terbuka JustGO di wilayah utara tanah air, termasuk tiga lokasi baharu, membuktikan kesediaan Malaysia ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) yang disasarkan menjelang tahun 2027.

“Maklum balas diterima sangat memberangsangkan kerana pengguna tidak perlu membawa kad fizikal, SmartTAG atau sebarang peranti tambahan untuk menggunakan JustGO. Malah, tiada kos dikenakan untuk memuat turun aplikasi. Sebaliknya, pembayaran dibuat menerusi aplikasi yang dihubungkan dengan kad bank dan pemandu boleh melalui mana-mana lorong ketika di plaza tol,” kata Peter seperti dilaporkan Berita Harian.

Peter turut berkata, pada peringkat awal (pelancaran pada Ogos), sistem ini digunakan di seluruh lebuh raya PLUS sebelum ia diperluaskan kepada pengendali lebuh raya lain. “Sebagai permulaan, ia dibuka untuk kenderaan Kelas 1 dahulu,” katanya. Setakat Jun lalu, hampir 300,000 pengguna memuat turun aplikasi berkenaan.

Sistem pembayaran tol JustGO diperluas ke Lembah Klang, seluruh jajaran Lebuhraya PLUS mulai Ogos ini

Untuk menggunakan sistem ini, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi JustGo, mendaftarkan kenderaan, menghubungkan kaedah pembayaran pilihan seperti kad debit atau kredit, dan memandu seperti biasa, tanpa memerlukan sebarang peranti tambahan serta tanpa kos pendahuluan kepada pengguna.

Sistem yang disokong oleh kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin ini mampu mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan cuaca, kelajuan, serta sudut pandangan yang berbeza. Nombor plat kenderaan akan dikesan secara automatik apabila melalui lorong tol dan caj diproses serta dipautkan terus kepada kaedh pembayaran pilihan pengguna melalui aplikasi mudah alih.

Walau bagaimana pun, pengguna juga diingatkan supaya tidak mengundurkan kenderaan di lorong tol demi menjaga keselamatan semua pengguna jalan raya.

Sejak September 2024, PLUS telah menjalankan ujian sistem pembayaran ANPR secara menyeluruh. Hasil ujian menunjukkan pengesanan yang lebih pantas berbanding sistem tol sedia ada berikutan hasil liputan kamera yang lebih luas di plaza tol.

“Ujian ini dilaksanakan dengan kerjasama rapat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta konsesi lebuhraya lain. Sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis, palang tol akan kekal digunakan. Pengguna dinasihatkan untuk mengekalkan kelajuan antara 20 hingga 25 km/j ketika melalui plaza tol tanpa perlu berhenti,” kata PLUS.