Menteri MOT akan mohon menghadap Sultan Selangor untuk memberi penjelasan lanjut mengenai LRT3

Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke akan memohon menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memberi penjelasan terperinci mengenai isu kos dan kelewatan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam. Beliau memaklumkan permohonan menghadap itu dibuat bagi memperincikan fakta susulan maklum balas baginda mengenai projek berkenaan, laporan Astro Awani.

Perkara itu susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Sultan Selangor pada hari Rabu lalu, yang memberi penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerana memulakan projek LRT3, serta Perdana Menteri ketika ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana meneruskan pelaksanaannya. Baginda turut mengkritik bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dan bekas penasihatnya, Tony Pua, berhubung peranan mereka dalam usaha mengurangkan kos serta mengecilkan skop projek tersebut.

Loke, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata teguran daripada Sultan Selangor itu diterima dengan hati terbuka dan akan dijadikan ruang untuk menjelaskan fakta serta pendirian kerajaan mengenai projek berkenaan. Beliau menjelaskan bahawa matlamat kerajaan bukanlah untuk membatalkan projek LRT3, sebaliknya merasionalisasikan kos bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Menteri MOT akan mohon menghadap Sultan Selangor untuk memberi penjelasan lanjut mengenai LRT3

“Hari ini, terdapat kenyataan bersama daripada Lim Guan Eng dan Tony Pua yang menjelaskan fakta-fakta yang perlu diketengahkan. Jadi, kami menerima teguran tersebut dengan hati terbuka dan saya akan berusaha memohon menghadap Sultan Selangor bagi memberikan penjelasan. Isunya bukanlah kerajaan mahu membatalkan projek itu, sebaliknya hanya melaksanakan rasionalisasi kos,” katanya.

Laluan LRT3 Shah Alam yang sekian lama dinantikan telah dirasmikan pada Ahad lalu dan mula dibuka kepada orang ramai pada hari Isnin. Laluan sepanjang 37.8 kilometer bernilai RM16.63 bilion itu menghubungkan Johan Setia di Klang dengan Bandar Utama di Petaling Jaya, menerusi 20 stesen yang memberi perkhidmatan kepada kawasan berpenduduk padat di Klang, Shah Alam dan Subang.

Sebelum ini, Loke turut mengumumkan pembinaan lima stesen yang dikembalikan semula ke dalam pelan projek dijadual bermula lewat tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan stesen meningkat kepada 25. Orang ramai juga boleh menikmati perkhidmatan tambang percuma untuk LRT3 Laluan Shah Alam sehingga 31 Julai ini.