Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional di Kuala Lumpur. Program ini merupakan kerangka amalan dan operasi baru yang menyeluruh dan lebih cekap, disasarkan untuk membantu kelompok pemandu teksi — yang kini juga termasuk pemandu platform e-hailing — untuk memperbaiki kualiti hidup serta meningkatkan pendapatan mereka.
Beberapa perkara penting yang diumumkan dalam pelancaran ini termasuklah penawaran Proton S70 sebagai model ganti bagi armada teksi yang lama. Ini akan ditawarkan dengan pengecualian 100% duti eksais dan cukai jualan kepada pemilik kereta sewa persendirian untuk membeli kenderaan teksi atau kereta sewa baru buatan nasional dalam Inisiatif Belanjawan 2026.
Ketika pelancaran, Anwar turut mengumumkan tambahan RM10 juta bagi program geran padanan untuk trade-in kereta lama dengan Proton S70 ini. Ia sama seperti program yang diadakan sebelum ini, yang mana peruntukan RM10 juta yang disediakan itu telah habis dimanfaatkan dalam tempoh hanya tiga bulan, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap program berkenaan dalam kalangan pengguna.
Di bawah program ini juga, sistem pajakan teksi serta permit teksi dari syarikat pengendali yang menjadi amalan sejak sekian lama di Malaysia sebelum ini juga tidak lagi akan diteruskan. Ia akan diganti dengan pendekatan yang membolehkan pemandu teksi menjadi pemilik kereta sewa serta permit mereka sendiri secara langsung — dengan Proton S70 ini nanti akan menjadi milik mereka secara persendirian, dan bukan lagi milik syarikat pengendali.
Dengan itu, penampilan teksi Proton S70 yang terbaru ini juga akan berubah dan lari jauh daripada imej lama sebuah teksi. Berdasarkan unit yang ditunjukkan ketika pelancarannya, ia menggunakan varian Premium dengan warna merah sedia ada S70 sebagai warna utama, yang tampil ringkas seperti sedan biasa. Tiada lagi label di bahagian pintu yang menunjukkan nama syarikat pengendali yang terpampang.
Tetapi, yang membezakannya sebagai sebuah teksi ialah lampu LED hijau dengan tulisan Teksi/E-Hailing yang terletak di bahagian dalam, di sebelah kiri cermin utama. Selain itu, rekaan nombor plat yang digunakan juga berlainan — dengan plat putih dengan tulisan nombor plat warna merah yang dikhususkan untuk teksi sahaja — dengan huruf awalan GET, merujuk kepada Gabungan E-hailing dan Teksi.
Penampilan baru ini bagaimanapun tidak lagi menggunakan penanda di atas bumbung (taxi topper) seperti sebelum ini. Di dalam pula, berbanding Proton S70 biasa, S70 untuk teksi ini akan dipasangkan satu lagi skrin meter teksi di bahagian bawah skrin utamanya, yang antara lain akan digunakan sebagai saluran paparan iklan sebagai sumber pendapatan tambahan pemandu teksi.
Selain itu, skim pembiayaan pembelian teksi yang khusus juga akan disediakan oleh Proton, yang mempertimbangkan keperluan berbeza setiap pemandu. Menurut Anwar, dengan semua pembaharuan ini, pendapatan bulanan pemandu teksi yang sebelum ini boleh mencapai sekitar RM4,000 sebulan, boleh meningkat kepada sekitar RM5,000 hingga RM7,000 sebulan.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pula, peralihan kepada model kereta yang lebih baru ini diharap akan dapat meningkatkan keyakinan pengguna dan juga pelancong asing terhadap perkhidmatan teksi di Malaysia. “Tak hanya tampil dengan imej yang jauh lebih segar seragam, Proton S70 ini juga akan memberikan penjimatan dan lebih selamat untuk semua,” tambah Loke.
Nombor plat Teksi Madani



