Puspakom telah mengumumkan menerusi laman Facebook rasminya susulan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang telah mengeluarkan arahan berhubung laporan pemeriksaan penukaran hak milik kenderaan persendirian (MV15 atau sebelum ini dikenali sebagai B5) kini dilanjutkan daripada 60 hari kepada 120 hari berkuatkuasa 1 Julai lalu.
“Puspakom menyambut baik dan menyokong pelaksanaan arahan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ini bagi memudahkan urusan pelanggan. Sehubungan itu, pelanggan dinasihatkan untuk merancang dan melengkapkan urusan pertukaran hak milik dalam tempoh sah laku yang telah ditetapkan,” kata Puspakom.
Jadi, jika anda ingin menjual kenderaan anda (atau menyerahkannya kepada ahli keluarga), kini anda mempunyai tempoh dua kali ganda lebih lama untuk melengkapkan proses pertukaran hak milik selepas pemeriksaan kenderaan selesai dilakukan.
Selain Puspakom, MOT juga telah melantik empat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) khas untuk melakukkan pemeriksaan tukar hak milik MV15 bagi mengurangkan kesesakan di Puspakom. Empat syarikat yang dilantik itu adalah Carro Technology Sdn Bhd; Carsome Academy Sdn Bhd; Wawasan Bintang Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.
Menteri MOT Anthony Loke berkata, empat PPKM yang dilantik itu hanya akan membuat pemeriksaan terhadap kenderaan persendirian saja berbanding pemeriksaan terhadap pelbagai jenis kenderaan dilaksanakan di Puspakom ketika ini, dan ia akan memudahkan dan mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan persendirian tanpa perlu bersesak dengan kenderaan berat ketika di Puspakom.

