Proton hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 16,052 unit kenderaan sepanjang bulan Jun 2026, membolehkan jualan untuk separa tahunnya kini mencapai 100,346 unit. Angka ini menunjukkan pertumbuhan 39.1% berbanding tempoh sama tahun lalu dan ia merupakan prestasi jualan separuh pertama terbaik Proton sejak 2011 serta meletakkannya di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 200,000 unit tahun ini.
Sebahagian besar jualan Proton untuk Jun masih lagi disumbangkan oleh model paling popularnya iaitu Saga dengan sebanyak 7,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan sepanjang bulan lalu. Ini menjadikan jumlah jualan Saga untuk separa tahun ini telahpun mencapai 44,375 unit, atau naik 40% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Manakala satu lagi model sedan iaitu S70 masih menjadi sedan segmen-C paling laris di Malaysia dengan jualan sebanyak 2,307 sepanjang Jun, dan mencapai 12,832 unit untuk separa tahun ini, naik 37.3% berbanding enam bulan pertama tahun lalu.
Model-model SUV juga menjadi pemacu jualan Proton di mana model segmen-B X50 terjual 2,378 unit sepanjang Jun, menjadikan jualan tahunannya kini mencapai 15,345 unit (naik 35.1%), dan model segmen-D X90 terjual sebanyak 388 unit pada bulan Jun 2026 menjadikan jualan tahunannya kini naik 50% berbanding tahun lalu.
“Kejayaan melepasi angka 100,000 unit jualan sebelum pertengahan tahun merupakan satu pencapaian penting buat Proton dan mencerminkan keyakinan berterusan rakyat Malaysia terhadap produk serta jenama kami,” naib CEO Proton, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.
“Apa yang lebih membanggakan ialah pertumbuhan ini disokong secara menyeluruh oleh keseluruhan portfolio produk kami. Permintaan terhadap model-model ICE kekal kukuh, manakala Proton eMas terus berkembang pesat. Ini membuktikan keupayaan Proton memenuhi keperluan pelanggan di setiap peringkat perjalanan mobiliti mereka dan memberi keyakinan kepada kami untuk mencapai sasaran jualan 200,000 unit tahun ini.”
Seperti yang disebut Dato’ Rashid, pertumbuhan jualan Proton untuk setengah tahun ini turut dipacu oleh model-model tenaga baharu dari jenama Proton eMas. Sepanjang enam bulan pertama 2026, sebanyak 17,920 unit Proton eMas berjaya diserahkan kepada pelanggan, mewakili peningkatan luar biasa sebanyak 321% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Untuk Jun, sebanyak 1,436 unit eMas 5 telah terjual menjadikan angka jualan tahunannya kini mencapai 10,793 unit. Manakala sebanyak 659 unit eMas 7 telah dihantar kepada pelanggan sepanjang Jun, menjadikan jualan separa tahun SUV EV segmen-C tersebut mencapai 3,053 unit. Kedua-dua model EV tersebut kini telah dipasang di kilang EV Proton Tanjong Malim.
Untuk satu-satunya model PHEV dalam portfolio Proton eMas iaitu eMas 7 PHEV pula, sebanyak 1,138 unit telah diserahkan kepada pelanggan bulan lalu. Ini merupakan bulan ketiga jualan eMas 7 PHEV melebihi 1,000 unit, dan jumlah jualan tahunannya sudah mencecah 4,074 unit selepas dilancarkan pada Februari lalu, membolehkan ia kekal sebagai model PHEV paling laris di Malaysia.
“Sambutan pengguna terhadap Proton eMas terus melebihi jangkaan kami apabila semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada mobiliti elektrik,” kata CEO PRO-NET, Zhang Qiang.
“Gabungan kos pemilikan yang kompetitif, pembangunan rangkaian pengecasan yang semakin meluas serta pertambahan rangkaian pengedar terus menarik pelanggan baharu kepada jenama Proton eMas. Kami akan terus memperkukuh portfolio produk dan pengalaman pelanggan bagi memastikan Proton eMas kekal sebagai jenama kenderaan tenaga baharu pilihan rakyat Malaysia,” tambahnya.

