Berdasarkan gambar awal yang mula tersebar, GWM Tank 300 sepertinya bakal diberikan kemaskini yang agak ketara, dengan pelancarannya dijangka akan diadakan pada 6 Julai ini.
Dari pandangan sisi, kedudukan gandar hadapan nampak lebih ke depan, dengan bahagian overhang SUV ini lebih pendek. Menurut data daripada Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, Tank 300 terbaru ini mempunyai ukuran 4,886 mm panjang, 1,984 mm lebar dan 1,927 mm tinggi, menjadikannya 126 mm lebih panjang, 54 mm lebih lebar dan 24 mm lebih tinggi berbanding model sebelumnya. Perubahan paling ketara ialah jarak rodanya — dengan 3,010 mm, menjadikannya 260 mm lebih panjang.
Tank 300 dengan “jarak roda panjang” pertama kali dipamerkan ketika Auto Shanghai tahun lalu dengan varian Hooke yang sangat lasak (dinamakan sempena Hooke Trail off-road di sana), dan sama seperti unit ketika itu itu, tambahan panjang untuk bahagian depannya ditandai oleh bukaan udara fender yang menegak yang kelihatan — ilham yang diambil daripada model inspirasinya, Jeep Wrangler.
Model Hooke yang dipamerkan itu di letakkan bersebelahan dengan prototaip enjin 4.0 liter twin-turbo V8, yang menampilkan susunan ala enjin Mercedes-AMG. Kita mungkin boleh menjangkakan model berprestasi tinggi dalam jangka masa panjang dari barisan SUV GWM, dengan semangat yang sama seperti Ford Bronco Raptor atau Wrangler Rubicon 392.
Namun, buat masa ini, Tank 300 dilaporkan akan mengekalkan enjin yang sama, termasuk enjin petrol empat-silinder turbo 2.0 liter dan enjin V6 turbo 3.0 liter — kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan. Kuasanya telah ditingkatkan kepada 238 PS (naik berbanding 220 PS) untuk enjin empat-silinder, dengan enjin-enam silinder kekal pada 360 PS, menurut Autohome.
Model ini dijangkakan akan menawarkan versi Hi4-T plug-in hybrid yang bakal membuat kemunculan semula, dengan gandingan enjin turbo 2.0 liter 245 PS dan motor elektrik 163 PS/400 Nm untuk jumlah output keseluruhan sistem 408 PS dan tork 750 Nm. Tidak seperti PHEV keluaran China yang lain, kereta ini masih menggunakan sistem pacuan empat roda dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan separuh masa — ia mengekalkan penggunaan differential lock di gandar belakang. Dengan bateri NMC 37.1 kWh, kereta ini memberikan jarak EV sejauh 115 km dengan kitaran NEDC (jarak gabungan ialah 955 km).
Versi model yang diperkemas ini juga akan menandakan penampilan sulung sistem Hi4-Z yang lebih mementingkan kegunaan di jalan raya, yang turut digunakan untuk Tank 400, 500 dan 700. Ini mengekalkan enjin 2.0 liternya, tetapi menggantikan 4WD mekanikal dengan motor elektrik berkembar dan transmisi hibrid khusus tiga-kelajuan (DHT). Dalam kegunaan lain, sistem janaannya menghasilkan sebanyak 863 PS dan 1,135 Nm yang di luar kebiasaan, dan walaupun output untuk versi Tank 300 masih belum disahkan, ia dijangka akan memberikan jarak EV CLTC sehingga 200 km hasil daripada kapasiti bateri 59.6 kWh yang jauh lebih besar.
Selain mekanikal, Tank 300 diberikan gril baru dengan tulisan “Tank” yang ditulis dalam huruf besar, dan bukannya lencana T segi empat tepat yang digunakan sebelum ini. Terdapat juga bampar hadapan yang lebih kukuh dari versi Hooke, menampilkan lampu pemanduan di luar, serta cangkuk tunda binaan dalam. Bagaimanapun, hanya model tertentu yang akan mendapat jarak roda yang dipanjangkan ini, dan yang lain kekal dengan jarak rosa lama seperti yang ditunjukkan dalam gambar, yang mengenakan badan dan bampar hadapan yang lama.
Di dalam, Tank 300 mengekalkan peningkatan yang telah diperkenalkan tahun lalu, termasuk skrin sentuh infotainmen bersaiz 14.6-inci yang lebih besar, dengan sistem operasi Coffee OS terkini oleh GWM, suis kawalan pengdingin fizikal, lubang udara di tengah bentuk segi empat tepat, pemilih gear belakang stereng serta konsol tengah baru dengan storan yang lebih besar. Bagaimanapun, stereng kini menggunakan unit dengan tiga jejari, dan bukan lagi dua jejari.



