Honda dan Nissan akan berkongsi teknologi – CEO Honda sahkan “perjanjian hampir diumumkan”

Selepas lebih setahun rundingan untuk bergabung telah gagal, Honda dan Nissan dilapor telah memulakan satu lagi rundingan, kali ini melibatkan perkongsian teknologi antara dua gergasi automotif Jepun tersebut. Menurut beberapa laporan berita, kedua-dua syarikat berkenaan sedang mempertimbangkan untuk berkongsi komponen teras utama bagi model-model generasi akan datang masing-masing yang ditakrifkan sebagai kenderaan berasaskan perisian, bagi mengurangkan kos pembangunan dan perolehan.

Dalam laporan Nikkei Asia, CEO dan Presiden Honda Toshihiro Mibe telah mengesahkan bahawa perjanjian dengan Nissan berkenaan perkara ini sedang berjalan. Beliau telah memberitahu para pemegang saham bahawa rundingan antara kedua-dua jenama itu masih jauh, tetapi ada beberapa aspek “hampir diumumkan.” Mibe tidak memperincikan bidang kerjasama itu dan hanya menyatakan bahawa ia sedang berjalan, di mana setiap projek berada dalam “hubungan menang-menang.”

Manakala Jiji Press pula memetik sumber yang rapat dengan perkara ini turut mengatakan bahawa Nissan dan Honda, serta Mitsubishi, sedang mempertimbangkan untuk menyeragamkan unit kawalan elektronik (ECU) pada model-model generasi akan datang. ECU tersebut akan digunakan oleh ketiga-tiga jenama pada kenderaan yang dijadualkan tiba menjelang akhir dekad ini, dengan model pertama akan dikeluarkan seawal tahun 2029.

Kedua-dua jenama ini juga sedang membincangkan penyeragaman sistem operasi yang mengoperasikan perisian dalam kenderaan. Walau bagaimanapun kerjasama yang akan dibentuk ini perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan pembiayaan pembangunan dan terma berkaitan yang lain, tetapi dijangkakan perjanjian akan dicapai dalam beberapa minggu lagi. Renault dijangka mempunyai pendiriannya terhadap perjanjian itu kerana ia masih memegang 15% kepentingan dalam Nissan.

Sebelum ini Nissan dan Honda secara rasmi mula berunding untuk bergabung pada Disember 2024, bagi mewujudkan kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia dengan penghasilan sejumlah 7.4 juta kenderaan setahun. Dalam rundingan tersebut kedua-duanya mensasarkan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka penggabungan berkenaan pada akhir Januari 2025, kemudian memuktamadkan rundingan ini sekitar Jun 2025 sebelum membentuk syarikat induk pada Ogos 2026, apabila saham kedua-dua syarikat telah digugurkan dari bursa.

Namun majlis untuk menandatangani MoU berkenaan telah ditunda dan dijadualkan akan berlangsung pada pertengahan Januari 2025. Tetapi selepas itu Nissan dilaporkan bakal menarik diri dari rundingan berkenaan kerana Honda telah menawarkan Nissan untuk menjadi anak syarikatnya, dan ini telah mengalihkan halatuju sebenar perbincangan untuk menggabungkan kedua-dua syarikat tersebut secara sama rata.

Walaupun begitu, kedua-dua pihak merasakan bahawa mereka perlu untuk terus “bekerjasama dalam rangka kerja perkongsian strategik yang bertujuan untuk era kenderaan pintar dan elektrik,” selaras dengan MoU sebelumnya yang memfokuskan pada penyelidikan bersama mengenai perisikan kenderaan dan elektrifikasi.