Geely secara rasmi melancarkan Galaxy TT di China dengan memperkenalkan terlebih dahulu varian prestasi tertingginya, dikenali sebagai Ultra. Menariknya, hanya 999 unit model ini akan ditawarkan pada peringkat awal, manakala penggunaan nama “Ultra” dilihat mengikut trend yang dipopularkan oleh Xiaomi menerusi model SU7.
Walaupun menggunakan nama yang sama, Galaxy TT Ultra bukan dibangunkan sebagai sedan berprestasi ekstrem untuk kegunaan litar. Sebaliknya, ia merupakan versi dua-motor berprestasi tinggi yang menggunakan teknologi motor elektrik 16-dalam-1 pertama di dunia.
Sistem pacuan itu menggabungkan motor hadapan berkuasa 245 PS (180 kW) dan 277 Nm bersama motor belakang yang menghasilkan 333 PS (245 kW) serta 320 Nm. Secara keseluruhan, sedan elektrik ini menawarkan kuasa gabungan 578 PS (425 kW) dan tork maksimum 597 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.
Kuasa tersebut disalurkan oleh pek bateri LFP berkapasiti 75.2 kWh daripada CATL yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 650 km mengikut kitaran CLTC. Jika diukur mengikut piawaian WLTP yang lebih realistik, jarak pemanduan dijangka sekitar 530 km.
Galaxy TT turut menggunakan seni bina elektrik 800 volt dan menyokong pengecasan pantas DC sehingga kadar 6C. Dengan teknologi ini, tahap bateri boleh ditingkatkan daripada 10% kepada 80% dalam hanya 11.6 minit.
Bagi pengecasan AC pula, kadar maksimum dihadkan kepada 6.6 kW. Model ini juga dilengkapi fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang mampu membekalkan kuasa sehingga 6 kW untuk menghidupkan peralatan elektrik luaran.
Bagi meningkatkan prestasi pengendalian, varian Ultra menerima sistem suspensi hadapan jenis double wishbone dan suspensi belakang multi-link lima pautan, digandingkan dengan penyerap hentak adaptif.
Dari segi penampilan, Galaxy TT Ultra dibezakan menerusi kemasan warna Fjord Blue dengan kemasan merah pada bahagian hadapan, kemasan luaran serta logo berwarna hitam, selain rim aloi hitam bersaiz 19 inci. Ia turut menerima beberapa komponen gentian karbon sebenar seperti penutup cermin sisi, manakala angkup brek berwarna merah yang dipasang hanyalah kemasan hiasan.
Ruang kabin pula didominasi kemasan kulit Bordeaux Red yang meliputi tempat duduk, papan pemuka dan stereng. Stereng itu turut dilengkapi butang Boost bagi memberikan akses pantas kepada prestasi maksimum.
Pada masa sama, Geely turut mendedahkan reka bentuk dalaman bagi varian standard Galaxy TT yang tampil berbeza berbanding model lain dalam keluarga Galaxy. Papan pemukanya menampilkan reka bentuk bertingkat dengan corong pendingin hawa berbentuk bulat di kedua-dua hujung, kluster instrumen digital bersaiz 10.2 inci serta konsol tengah terapung yang turut menempatkan paparan jam digital.
Kawalan fizikal sistem penyaman udara masih dikekalkan bersama tombol kawalan pelbagai fungsi yang menyerupai unit digunakan pada Proton eMas 7.
Bagi sistem infotainmen, Galaxy TT dilengkapi skrin sentuh bersaiz 15.4 inci, head-up display berasaskan AR-HUD bersaiz 25.6 inci, bumbung panoramik kaca, tempat duduk hadapan dan belakang yang menawarkan fungsi pemanas, pengudaraan serta urutan, serta sistem audio Flyme Sound dengan 23 pembesar suara.
Ruang simpanan turut praktikal dengan ruang but berkapasiti 528 liter, selain ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 43 liter.
Dari aspek keselamatan, Galaxy TT dilengkapi sistem bantuan pemandu termaju G-Pilot H7 yang menggunakan sensor lidar pada bahagian bumbung. Sistem ini membolehkan fungsi pemanduan separa autonomous digunakan di lebuh raya serta jalan bandar.
Di China, Geely Galaxy TT Ultra ditawarkan pada harga pra-jualan 209,800 yuan, bersamaan sekitar RM126,900. Dengan gabungan prestasi, teknologi serta kelengkapan yang ditawarkan, model ini dilihat menawarkan nilai yang cukup kompetitif dalam segmen sedan elektrik berprestasi tinggi.
GALERI: Geely Galaxy TT Ultra
GALERI: Geely Galaxy TT




