Denza Z9S didedah di China – sedan EV duduk di bawah Z9-Z9GT, kuasa sehingga 502 PS, CLTC 920 km

Denza menyiarkan secara rasminya imej pertama bagi Z9S, iaitu sebuah sedan elektrik (EV) baru yang bakal menyertai barisan model Z9. Sebagai rujukan, Z9 turut ditawarkan dalam versi wagon menerusi Z9GT, yang baru sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia beberapa hari lalu.

Dari segi dimensi, Denza Z9S mencatatkan ukuran 5,090 mm panjang, 1,980 mm lebar dan 1,490 mm tinggi, dengan jarak roda 3,025 mm. Ini menjadikannya 145 mm lebih pendek dan mempunyai jarak roda 100 mm lebih singkat berbanding Z9.

Model yang ditunjuk ini menggunakan kemasan warna Dawn Purple. Pada bahagian hadapan, reka bentuknya mempunyai banyak persamaan dengan Z9GT, termasuk bukaan udara tengah serta liang udara di bahagian sisi yang dikelilingi elemen menyerupai “taring”.

Denza Z9S didedah di China – sedan EV duduk di bawah Z9-Z9GT, kuasa sehingga 502 PS, CLTC 920 km

Namun, Z9S tampil dengan identiti tersendiri menerusi rekaan lampu hadapan dua tingkat, di mana unit lampu utama ditempatkan pada bahagian bucu bampar, manakala lampu nyalaan siang (DRL) berkembar diposisikan lebih tinggi.

Dilihat dari sisi, Z9S mengekalkan reka bentuk fastback seperti Z9, begitu juga dengan lampu belakang yang merentangi hampir keseluruhan lebar kenderaan. Berbeza dengan model Z9 dan Z9GT, Z9S tidak menggunakan pemegang pintu jenis tersembunyi yang keluar secara automatik. Langkah ini dipercayai dibuat sebagai persediaan terhadap peraturan baru di China yang akan melarang penggunaan pemegang pintu sebegitu bermula tahun hadapan.

Antara ciri luaran lain yang boleh dilihat ialah sensor LiDAR dan kamera yang dipasang pada bumbung bagi menyokong fungsi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS). Selain itu, cermin sisi dipasang pada lengan khas dan bukannya disambungkan terus kepada badan kenderaan. Setakat ini, Denza masih belum mendedahkan imej ruang dalaman Z9S.

Berdasarkan dokumen pemfailan kepada Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT), Denza Z9S akan ditawarkan dalam konfigurasi pacuan roda belakang (RWD) dengan dua pilihan motor elektrik. Varian asas menghasilkan 435 PS (320 kW), manakala versi lebih berkuasa menawarkan 503 PS (370 kW).

Kedua-dua varian menggunakan pek bateri berkapasiti 102.326 kWh yang mampu memberikan jarak gerak sehingga 920 km mengikut standard CLTC.

Menurut laporan CarNewsChina, pek bateri bagi kedua-dua varian menggunakan sel daripada pembekal yang berbeza. Versi 435 PS menggunakan sel bateri keluaran Hefei BYD yang dipasang ke dalam pek bateri oleh Shanwei FinDreams Battery. Sementara itu, varian 503 PS pula menggunakan sel bateri keluaran Wuwei FinDreams, dengan pemasangan pek bateri dilakukan oleh Shenzhen BYD Auto Industry.