GR GT – kereta sport flagship Toyota sah akan mendarat di pasaran Filipina; Malaysia juga?

Toyota Motor Philippines (TMP) mengesahkan bahawa kereta sport flagship pertama Toyota yang dijual menggunakan terus jenama Gazoo Racing (GR) tanpa lencana Toyota iaitu GR GT bakal dijual pada pasaran berkenaan. Perkara ini disebut oleh naib presiden kanan TMP, Sherwin Chua-Lim dalam sidang media siri perlumbaan Toyota Gazoo Racing Philippine Cup bagi tahun ini, dan ia dilaporkan oleh Top Gear Philippines.

Beliau menyatakan bahawa GR GT sudah pasti akan dijual di Filipina, cuma bila ia akan dilancarkan belum lagi dapat dipastikan dan akan diumumkan kemudian. Sherwin Chua-Lim turut menyatakan bahawa kereta sport berkenaan akan dibawa ke Filipina dengan jumlah yang sangat terhad dengan menyatakan “anda boleh guna satu tangan sahaja untuk mengira”.

GR-GT didedahkan pada Disember tahun lalu, bersama versi perlumbaan sebenar yang dihomologasikan dalam spesifikasi FIA GT3. Ini membayangkan seolah-olah model produksi jalan raya tersebut wujud kerana Toyota mahu menghasilkan sebuah jentera lumba GT3 yang boleh digunakan dalam siri perlumbaan WEC (buat masa sekarang Toyota hanya mempunyai jentera kelas tertinggi Le mans Hypercar atau LMH), dan juga pelbagai perlumbaan GT lain di seluruh dunia di mana ia merupakan kelas yang sangat kompetitif.

GR GT – kereta sport flagship Toyota sah akan mendarat di pasaran Filipina; Malaysia juga?

Kereta sport ini tidak dibina berdasarkan platform kereta produksi biasa, dan buat pertama kali Toyota menggunakan kerangka space frame yang dihasilkan dari material aluminium sepenuhnya. Casis ini turut menampilkan suspensi jenis double wishbone untuk keempat-empat sudut, serta menampilkan lengan-lengan suspensi yang diperbuat dari aluminium forged, manakala badannya pula dibina dari panel-panel yang diperbuat dari karbon dan juga plastik bagi membolehkan ia mencapai berat yang disasarkan pada 1,750 kg. Untuk berhenti, GR GT ini datang dengan brek karbon seramik secara standard.

Ia digerakkan dengan enjin V8 4.0 liter yang disuap oleh dua pengecas turbo serta dibantu oleh sistem hibrid elektrik. Enjin tersebut direka dengan strok yang pendek dan juga konfigurasi turbo jenis “hot-V”, dan model produksi jalan raya ini juga sudah dilengkapi dengan sistem pelinciran menampilkan takung minyak enjin jenis dry-sump bagi membolehkan enjin diletakkan lebih rendah, secara tidak langsung merendahkan titik graviti keseluruhan kereta ini.

Enjin GR GT ini masih lagi terletak di hadapan, namun kotak gearnya berada pada gandar belakang di mana kedua-dua komponen ini digandingkan menerusi satu tiub tork yang diperbuat dari gentian karbon. Kotak gear lapan kelajuan automatik tersebut tidak mempunyai torque converter, sebaliknya tugas berkenaan digalas oleh set klac basah. Gandar belakang kereta ini turut dihuni oleh motor elektrik untuk sistem hibrid, dan tork antara roda belakang kiri dan kanan diagih menerusi unit LSD mekanikal.

Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa tersebut menghasilkan sekurang-kurangnya 650 PS dan tork 850 Nm, membolehkan GT ini mencapai kelajuan maksima 320 km/j. Dengan enjin V8 yang kompak, bahagian hud hadapan yang panjang pada kereta ini membolehkan ia diguna untuk meletakkan bateri hibrid, tangki bahan api dan pelbagai komponen lagi – hasilnya berat kereta ini dapat diagihkan 45% pada bahagian hadapan dan 55% pada bahagian belakang.

Toyota juga turut menyatakan bahawa rekaan pada GR GT ini lebih mengutamakan aspek aerodinamik, dan elemen ‘cantik’ berada di tangga kedua. Jadi penghasilan rekaan luaran kereta turut dibantu oleh jurutera-jurutera aerodinamik yang membangunkan kereta lumba Toyota yang bertanding dalam perlumbaan WEC.

Walau bagaimanapun GR GT ini sebenarnya masih lagi dalam peringkat pembangunan serta belum dilancarkan di mana-mana pasaran, dan hanya akan mula dijual pada 2027. Jika Filipina yang turut berada dalam wilayah Asia Tenggara menerima kereta sport ini, mungkin Toyota Malaysia juga akan mendapat hak bagi membawanya ke sini seperti model-model GR yang lain?

Tags: