Geely telahpun mendedahkan unit pacuan elektrik 16-dalam-1 yang digelar sebagai Thunder, dan ia bakal digunakan buat pertama kali menerusi model sub-jenama Geely Galaxy, atau secara spesifiknya sedan Geely Galaxy TT yang bakal dilancarkan di China tidak lama lagi.
Menurut laporan CarNewsChina, unit pacuan elektrik ini dibangunkan oleh anak syarikat Geely iaitu InfiMotion, di mana ia beroperasi dengan asas sistem elektrik 800-volt serta mengintegrasikan 12 fungsi komponen (motor elektrik dan juga pengawal, unit reducer, DCDC, OBC, PDU, HBMS, LBMS, VCU, TMS, pengawal pra-pengecasan aktif, dan gerbang domain kuasa) serta empat kemampuan perisian (pengurusan tenaga pintar, pengurusan pengecasan pintar, kawalan gerakan pintar dan pengurusan kesihatan pintar).
Dengan konfigurasi baharu ini Geely mendakwa bahawa ia dapat mengurangkan sehingga 180 komponen, memberikan ketumpatan kuasa setinggi 16 PS untuk satu kg serta mencapai rekod kecekapan produksi pertama di dunia iaitu pada kadar 93.8%.
Oleh itu, sistem Thunder ini ditimbang hanya 75 kg (dengan 16 PS/kg, ia boleh mencapai 1200 PS), serta pendawaian voltaj tinggi dan rendah juga boleh dikurangkan sehingga masing-masing 30% dan 15%. Dengan rekaan kompak di mana tingginya tidak sampai 325 mm, sistem ini juga dapat memberikan ruang but 28 liter lebih besar.
Sistem ini juga menampilkan perumah aloi magnesium, rekaan motor bersepadu dengan unit reducer, pendakap cagak, serta komponen yang digelar sebagai teknologi ‘satu-chip’ yang memampatkan latensi kawalan daripada purata 40 milisaat kepada sepantas dua milisaat.
Menurut Geely unit pacuan elektrik Thunder ini telah diuji dalam cabaran kecekapan di sekitar Tasik Qinghai, dan menghasilkan kadar penggunaan kuasa serendah 8.2 kWj setiap 100 km. Namun Geely mengesahkan bahawa ujian yang dijalankan tersebut adalah ujian jenis terkawal, dan menyatakan ia boleh mencapai penggunaan kuasa serendah 10.7 kWj setiap 100 km menurut kitaran ujian CLTC.
Sistem ini juga beroperasi dengan sistem AI untuk mengoptimakan prestasi ketika suhu rendah dan kelajuan tinggi, dan menurut Geely sistem ini turut boleh menyimpan tenaga haba bersamaan sekitar 7 kWj di bawah -18 darjah, serta mengurangkan penggunaan tenaga pemanasan kabin sehingga lebih 40%.

