Mitsubishi Pajero 2027 ditunjuk dalam teaser – sedikit bahagian dalam terdedah, akan diperkenal tahun ini

Mitsubishi terus meningkatkan keterujaan menjelang pelancaran rasmi Pajero generasi kelima dengan menyiarkan satu lagi video teaser baru. Meskipun model SUV lasak itu hanya dijadualkan membuat penampilan penuh sekitar musim luruh di Jepun (September-November), beberapa peserta acara Mitsubishi Star Camp telah diberikan peluang eksklusif untuk melihatnya lebih awal.

Video promosi tersebut memaparkan reaksi para peserta selepas melihat Pajero serba baru itu secara langsung. Walaupun kebanyakan rakaman hanya menunjukkan ekspresi mereka, beberapa bahagian kenderaan turut terdedah, termasuk ruang kabin yang menampilkan kombinasi warna hitam dan kuning cair, selain kemasan pintu dengan jahitan yang memberikan sentuhan lebih premium berbanding model terdahulu.

Berdasarkan terjemahan automatik pada video tersebut, para peserta menyifatkan Pajero baru sebagai sebuah SUV yang bergaya dengan penampilan tegap, namun masih mengekalkan imej elegan. Mereka turut memuji ruang kabin yang luas serta tempat duduk yang lebih selesa, manakala kehadiran pemegang tangan pada bahagian kabin dilihat sebagai elemen yang mengekalkan identiti lasak model berkenaan.

Di penghujung video, Mitsubishi turut memperlihatkan sedikit gambaran bahagian hadapan Pajero yang masih dilindungi dengan kain penutup. Walaupun reka bentuk keseluruhannya masih dirahsiakan, lampu hadapan dengan tanda pencahayaan baru dapat dilihat menyala di sebalik penutup tersebut, selain beberapa garisan badan yang mula kelihatan.

Sebelum ini, Mitsubishi telah mengesahkan bahawa Pajero generasi kelima akan dibangunkan menggunakan platform terkini Triton dengan casis jenis ladder-frame. Pengeluar itu juga memaklumkan SUV tersebut akan menerima talaan dan ciri khusus bagi memastikan ia bukan sahaja menawarkan keupayaan offroad yang mantap, malah memberikan tahap keselesaan lebih tinggi untuk kegunaan harian.

Video Star Camp ini merupakan siri teaser terbaru daripada Mitsubishi menjelang pelancaran Pajero baru. Sebelum ini, syarikat itu pernah memperlihatkan bayangan bahagian hadapan bersama tanda unik lampu model tersebut, selain memperkenalkan paparan Multi Meter digital yang diinspirasikan daripada gugusan meter tiga beradik ikonik yang pernah digunakan pada Pajero generasi terdahulu.

Tags: