Mitsubishi Motors Corporation mengesahkan bahawa Pajero generasi baharu bakal didedahkan pada musim luruh tahun ini, atau sekitar suku ke-empat 2026. Menerusi teaser terbaharu yang disiarkan, Pajero generasi baharu ini turut disahkan akan menerima Multi Meter, iaitu meter ‘tiga beradik’ pada konsol tengah seperti yang diberikan pada Pajero generasi terdahulu.
Multi meter berkenaan akan memberikan pelbagai informasi pemanduan, khususnya untuk pemanduan off-road termasuk bacaan altitud, bacaan kompas, suhu persekitaran, sudut pitch dan roll kenderaan serta agihan tork antara roda kiri dan kanan.
“Sama ada mengharungi lereng curam, jalan gunung yang berliku-liku, denai hutan yang sempit dan lasak, rupa bumi berbatu yang tidak rata atau keadaan berlumpur selepas hujan lebat, sistem ini memaparkan maklumat masa nyata yang membantu pemandu mengekalkan keyakinan dan kawalan merentasi pelbagai persekitaran semula jadi di seluruh dunia,” kata Mitsubishi dalama kenyataan yang dikeluarkan.
Tidak seperti ‘meter tiga beradik’ pada Pajero klasik yang diberikan meter analog, Multi Meter pada Pajero generasi baharu ini berkemungkinan besar adalah dari jenis digital dan dipaparkan pada skrin, seperti yang sudah diberikan pada Mitsubishi XForce.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini juga mengesahkan bahawa Pajero generasi baharu ini diasaskan dari platform ladder frame trak pikap Mitsubishi Triton, namun ia menerima suspensi hadapan dan belakang yang lebih tersendiri. Jadi model generasi terkini ini lebih mirip kepada Pajero Sport, berbeza dari Pajero sebenar yang dibina menggunakan platform casis unibody tersendiri serta hadir dengan perincian lebih mewah.
Sebelum ini Mitsubishi telahpun menyiarkan beberapa teaser bagi Pajero generasi baharu ini, antaranya satu bayangan SUV off-road muncul pada bahagian akhir satu video yang dibuat untuk meraikan kejayaan trak pikap Triton dalam perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun lalu. Walaupun hanya muncul sekitar dua saat dengan keadaan cahaya yang rendah dalam video berkenaan, dapat dilihat bahawa SUV baharu ini menampilkan badan yang lebih tegap serta berkotak berbanding Pajero Sport generasi sedia ada.
Juga dalam video tersebut, Mitsubishi meletakkan kemenangan Triton dalam AXCR berkenaan sebagai penerus kejayaannya dalam pelbagai kejohanan rali sebelum ini termasuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan juga Rali Paris-Dakar (dikenali sebagai Rali Dakar sekarang). Menerusi teaser sebelum ini, Mitsubishi sekali lagi mengimbau kejayaan Pajero dalam Rali Dakar, di mana ia mula berlumba dalam rali rentas negara menerusi padang pasir berkenaan sejak 1983, dan telah meraih 12 kejayaan termasuk tujuh gelaran yang dipertahankan selama tujuh-tahun berturut-turut.
Pajero generasi pertama diperkenalkan pada 1982, dan selepas empat generasi produksi SUV itu akhirnya ditamatkan pada 2021 tanpa sebarang pengganti. Manakala model generasi sedia ada Pajero Sport pula sudahpun berada sedekad dalam pasaran, dan menerima facelift terakhir pada 2024 di mana ketika itu Triton sudahpun hadir dalam model generasi baharu seterusnya – jadi model ini juga perlu diperkenalkan dalam versi generasi baharu tahun ini.
Dengan pengenalan semula Pajero generasi baharu ini nampaknya Mitsubishi telah menyatukan model utama tersebut dengan Pajero Sport kerana ia dibina berdasarkan platform ladder frame Triton. Sebelum ini Pajero Sport yang lazimnya dikilangkan di Thailand bersama dengan Triton tidak pernah dijual di pasaran Jepun.
Jadi dengan munculnya Pajero yang diasaskan dari platform Triton ini, ia mungkin menjadi Pajero pertama yang akan diproduksi di Thailand dan kemudian dieksport dan dijual ke pasaran Jepun. Buat masa sekarang trak pikap Triton yang dijual dalam pasaran domestik Jepun juga diimport dari Thailand.
Kami jangkakan dengan menggunakan platform Triton, Pajero generasi baharu ini juga akan menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama. Triton generasi terkini digerakkan dengan enjin 4N16 2.4 liter MIVEC turbodiesel yang ditawarkan dalam versi turbo tunggal dan berkembar, dengan versi talaan paling berkuasa menampilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 470 Nm. Ia turut menawarkan kotak gear enam kelajuan automatik serta sistem 4WD Super Select II untuk meredah laluan off-road yang lasak.


