Mitsubishi Motors Corporation (MMC) telah mengumumkan bahawa penjualan model generasi keempat SUV Pajero untuk pasaran Jepun akan ditamatkan pada bulan Ogos ini, dan tidak akan diganti dengan model generasi baharu. Sempena meraikan 37-tahun Pajero di Jepun, MMC menghasilkan model edisi khas yang digelar Final Edition, dibuat hanya 700 unit.

Sebelum pergi lebih jauh, anda perlu tahu bahawa Pajero untuk pasaran Jepun ini adalah model berbeza dari Pajero Sport yang dipasarkan di ASEAN, diproduksi di kilang Mitsubishi yang terletak di Thailand dan Indonesia. Model pasaran Jepun berkenaan diproduksi di kilang Mitsubishi di wilayah Gifu, dan walaupun penjualan di negara berkenaan dihentikan kelak, produksinya masih akan berjalan kerana Pajero tersebut masih akan dieksport ke Amerika Latin dan sebahagian negara Asia Tenggara.

Berbanding Pajero Sport yang dibina berdasarkan kerangka ladder frame sama seperti trak pikap Triton, model Pajero buatan Jepun ini menggunakan casis unibody yang bersepadu dengan ladder frame bagi memberikan keselesaan seakan kereta.

Model Final Edition ini dihasilkan berdasarkan varian Exceed, dijana oleh enjin diesel 3.2 liter berkuasa 187 hp/441 Nm, digandingkan bersama kotak gear automatik lima-kelajuan dan sistem 4WD lengkap dengan locking differential. Versi istimewa ini juga hadir bersama bumbung suria dan rel bumbung, serta aksesori istimewa Final Edition seperti spoiler belakang, penutup tayar gantian serta mudflap.

Bahagian dalaman pula, ia diberikan upholsteri kulit dan kemasan bendul pintu dengan logo Pajero yang menyala. Tambah eksklusif, setiap pembelian SUV ini juga disertakan dengan pelekat istimewa serta seutas jam tangan Citizen berlogo Mitsubishi dan juga nombor turutan unik. Untuk semua ini, Mitsubishi Pajero Final Edition akan dijual pada harga bermula 4,530,600 yen atau sekitar RM167k.

Seperti juga Mitsubishi Lancer dan Lancer Evolution, kehilangan Pajero ini pastinya dirindui. Selain dipercayai sebagai kenderaan off-road yang berkebolehan, Pajero turut mencatatkan namanya sebagai model yang paling berjaya dalam perlumbaan Rali Paris-Dakar (kini hanya dikenali sebagai Rali Dakar).

Pajero mula menyertai rali paling mencabar di dunia itu bermula pada tahun 1983, dan mengecapi gelaran juara pertamanya pada tahun 1985. Sehingga tahun 2007, Pajero telah dinobatkan sebagai juara rali berkenaan sebanyak 12-kali.

Sehingga kini, lebih 3 juta Pajero telah dihasilkan, dengan 640,000 unit daripadanya dijual pada pasaran Jepun. Namun kebelakangan ini, Pajero hanya berjaya dijual hanya berberapa ratus unit setahun, mungkin salah satu sebab mengapa Mitsubishi mahu model ini ditamatkan terus.

GALERI: Mitsubishi Pajero Final Edition 2019

GALERI: Mitsubishi Pajero dari generasi ke generasi