BYD mendedahkan spesifikasi penuh bagi Racco, iaitu kei car elektrik pertama jenama itu yang bakal dilancarkan di pasaran Jepun. Pendedahan ini dibuat beberapa bulan selepas model tersebut diperkenalkan sebagai prototaip pada Japan Mobility Show tahun lalu dan kini yang belum diketahui cuma harganya.
Apabila mula dipasarkan nanti, BYD Racco akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu 200, 300 Plus dan 300 Premium. Varian asas 200 dipadankan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 22.4 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 210 km mengikut piawaian WLTC.
Sementara itu, varian 300 Plus dan 300 Premium menggunakan bateri LFP lebih besar berkapasiti 35.84 kWh yang membolehkan jarak gerak sehingga 320 km. Kesemua varian menggunakan motor elektrik yang sama dengan kuasa maksimum 64 PS (47 kW) dan tork 160 Nm. Angka tork tersebut merupakan had maksimum yang dibenarkan di bawah peraturan kei car di Jepun.
Dari segi casis, semua varian dilengkapi rim aloi 15 inci dengan tayar bersaiz 165/65, suspensi hadapan jenis MacPherson, suspensi belakang torsion beam, cakera brek berliang di hadapan serta cakera brek biasa di belakang.
Sebagai sebuah kei car, dimensi Racco menepati peraturan kenderaan kompak Jepun dengan ukuran 3,395 mm panjang, 1,475 mm lebar dan 1,800 mm tinggi, manakala jarak rodanya ialah 2,520 mm. Ruang kabin mampu memuatkan empat penumpang, sementara ruang but menawarkan kapasiti sehingga 280 liter.
Bahagian dalaman pula menampilkan rekaan yang ringkas dengan corong pendingin hawa berbentuk kapsul, kluster instrumen digital serta skrin infotainmen di bahagian tengah. Tuil pemilih gear diletakkan berhampiran kawalan fizikal sistem penyaman udara, manakala kelengkapan lain adalah termasuk pemegang cawan berpenebat, beberapa ruang simpanan, akses menggunakan NFC dan meja lipat untuk penumpang belakang.
BYD dijangka menawarkan Racco pada harga bermula sekitar 2.5 juta yen (kira-kira RM63,000) di Jepun. Apabila dilancarkan, ia akan bersaing dengan beberapa EV kei lain seperti Honda N-One e:, Mitsubishi eK X EV dan Nissan Sakura.



BYD Atto 3
dari RM 125,800
BYD Seal 6
dari RM 100,000
BYD Seal
dari RM 171,800
BYD Atto 2
dari RM 100,000
BYD Sealion 7
dari RM 183,800
BYD M6
dari RM 109,800
BYD Dolphin
dari RM 100,530