Mitsubishi Pajero Sport terkini masih belum tiba di Malaysia, tetapi di Indonesia, SUV yang diasaskand daripada model Triton itu sudah memasuki fasa keduanya. SUV tujuh-tempat duduk itu kini dipasang secara CKD di sana, dan akan dijual bersekali dengan model yang dibawa masuk dari Thailand.

Pemasangan tempatan yang dilakukan di kilang baru Cikarang itu memberikan nilai tambah dan penjimatan yang lebih banyak bagi model berkenaan. Ini termasuk penawaran dari varian Pajero Sport Dakar 4×2 Ultimate yang tampil dengan kelengkapan tambahan untuk pengguna.

Beberapa ciri teknologi keselamatan menjadikannya lebih berbaloi; tujuh beg udara (model import dari Thailand hanya ada dua beg udara), Forward Collision Mitigation System, Blind Spot Warning, Ultrasonic Misacceleration Mitigation System dan Adaptive Cruise Control antara yang dimaksudkan.

Ia turut menerima skrin monitor sembilan inci yang turut dihubungkan bersama unit radio 2-DIN dan sistem audionya. Lagi tambahan-tambahan kecil yang lain ialah butang kunci pada panel pintu pemandu serta suis tingkap kuasa dengan nyalaan lampu. Di bahagian dalam, warna latar biege serta kemasan kayu menjadi pilihan pengeluarnya.

Spoiler belakang turut memberikannya imej yang lebih menonjol dari aspek luaran. Rekaan lampu yang “panjang” serta wajah Dynamic Shield kekal seperti sebelumnya. Turut dikekalkan ialah enjin yang digunakan; 2.4 liter MIVEC turbodiesel dengan janaan 181 PS dan 430 Nm tork, yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Pajero Sport Dakar 4×2 Ultimate dijual pada harga 549 juta Rupiah (RM178,401).

Mitsubishi Pajero Sport Dakar 4X2 Ultimate

Mitsubishi Pajero Sport Dakar 4X4