Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur sah dihentikan selepas 3 tahun penganjuran – Element X ubah haluan

Penganjur Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL), Element X Strategies mengesahkan bahawa acara berkenaan tidak lagi akan dilangsungkan tahun ini kerana pihaknya memilih untuk tidak memperbaharui lesen penganjurannya.

“Keputusan ini tidak dibuat dengan mudah. ​​Seiring dengan perkembangan visi kami, kami sedang menumpukan perhatian kepada projek yang lebih besar dan lebih menarik yang akan membolehkan kami menerokai sempadan acara automotif. Kami percaya masanya telah tiba untuk memulakan hala tuju baharu dan mewujudkan sesuatu yang lebih komprehensif untuk komuniti automotif,” kata Element X Startegies dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

Dalam kenyataan yang sama syarikat itu turut berterima kasih kepada semua rakan kongsi, pempamer, penaja, pelawat, wakil media, peserta, sukarelawan serta peminat sepanjang tiga tahun TASKL diadakan di Malaysia.

Walau bagaimanapun Element X Strategies turut mengesahkan bahawa TASKL akan digantikan dengan acara budaya automotif yang lain, didakwa “akan melangkaui pameran motor tradisional, menghimpunkan spektrum budaya automotif, hiburan, gaya hidup, inovasi dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan yang lebih luas di bawah satu bumbung.”

Lebih perincian berkenaan acara berkenaan akan diumumkan selepas ini.