Kementerian Pengangkutan (MOT) bakal melaksanakan inisiatif sistem telematik bagi kenderaan perdagangan bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kes kemalangan jalan raya. Ia akan dilaksanakan secara berfasa bermula tahun 2026 hingga 2028, menurut menterinya, Anthony Loke, laporan Bernama.
Beliau berkata, telematik ialah teknologi pintar yang menggabungkan sistem GPS, sensor kenderaan dan komunikasi data bagi membolehkan pemantauan operasi kenderaan secara masa nyata. Di mana teknologi itu memaparkan parameter seperti kelajuan, brek mengejut, pecutan agresif, tempoh pemanduan dan corak pergerakan kenderaan boleh direkod serta dianalisis secara berterusan.
Tambah beliau, inisiatif tersebut bermula pada tahun ini hingga 2027 dengan fasa sukarela dan advokasi kepada industri, sebelum diperluaskan kepada pembangunan Sistem Pangkalan Data Pemandu Kenderaan Perdagangan dan integrasi data telematik secara berpusat tahun depan.
Manakala fasa ketiga yang dicadangkan adalah bermula tahun 2028 iaitu mempertimbangkan penggunaan sistem tersebut sebagai antara syarat wajib pelesenan kenderaan perdagangan. Namun ia tertakluk kepada kesiapsiagaan industri serta pembangunan sistem kerajaan yang berkaitan.
Walau bagaimana pun, kata Loke, syarikat pengendali tidak perlu membeli sistem itu sebaliknya hanya perlu melanggan serendah RM60 hingga RM300 sebulan, bergantung kepada ciri yang ditawarkan. Jelasnya, terdapat lima syarikat rintis bersedia menawarkan perkhidmatan telematik kepada operator dan pengendali kenderaan perdagangan, antaranya, BSmart System Solution Sdn Bhd, Navipulse Sdn Bhd, MyLorry Technology Solution Sdn Bhd, Theta Edge Berhad dan ANSA Digital Sdn Bhd.
Sebagai pengetahuan, telematik ini bukan sekadar sistem untuk melihat lokasi kenderaan, namun ia membolehkan operator memahami bagaimana sesebuah kenderaan dipandu, bagaimana risiko berlaku, dan bagaimana tindakan pembetulan boleh dibuat dengan lebih cepat.
Di mana data yang diperoleh melalui sistem itu boleh diterjemahkan kepada penilaian prestasi pemandu. Selain itu, telematik membolehkan tingkah laku pemanduan dinilai secara lebih objektif, telus dan berasaskan bukti. Ini termasuk sekiranya pemandu memandu melebihi had laju, sistem boleh memberi amaran kepada operator dan jika berlaku brek mengejut, pecutan agresif atau kenderaan keluar daripada laluan yang ditetapkan, ia juga boleh direkod dan dianalisis.


