Bagi tempoh separuh pertama tahun 2026, sebanyak 385,353 unit kenderaan telah terjual di Malaysia, mewakili peningkatan sebanyak 3% berbanding 373,636 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu. Angka ini dikongsikan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu taklimat media, pagi ini.
MAA menyifatkan pertumbuhan positif jumlah keseluruhan industri (TIV) dengan daya tahan berterusan yang ditunjukkan oleh pasaran automotif domestik, yang kekal berada dalam persekitaran ekonomi yang stabil serta dengan permintaan pengguna yang mapan. Jumlah pengeluaran industri (TIP) pada separuh pertama tahun 2026 juga mencatatkan pertumbuhan 1.2% berbanding tahun sebelumnya dengan 356,946 unit.
Presiden MAA, Mohd Shamsor bin Mohd Zain menjelaskan, antara segmen kenderaan yang mencatatkan pertumbuhan meyakinkan ialah SUV (dengan peningkatan 19%) serta EV (dengan peningkatan 106%). Sebaliknya, antara segmen yang mencatatkan penguncupan pula adalah seperti kenderaan komersial terutamanya trak pikap, yang menyaksikan penurunan 11% akibat pelaksanaan penyelarasan subsidi bahan api yang ditarik daripada kenderaan diesel persendirian sebelum ini. Hal ini dijangka akan menunjukkan corak yang berbeza bermula bulan Julai selepas pelaksanaan Budi Diesel yang diperbaharui, yang kini turut boleh dinikmati oleh pemilik kenderaan diesel persendirian.
Jualan keseluruhan kenderan di Malaysia tentunya didominasi oleh jenama pengeluar nasional Perodua dan Proton, yang terus memperlihatkan pertumbuhan — Perodua kini menguasai 41% pasaran, sementara Proton mencatatkan 26%; menjadikan penguasaan pasaran keseluruhannya pada tahap 67%.
Selain daripada faktor seperti pelancaran produk baru serta keyakinan pengguna yang sangat baik dan disokong oleh pendapatan warga yang stabil walaupun terdapat isu global seperti perang di Asia Barat, dan kesannya terhadap ekonomi dan rantaian bekalan dunia, MAA menjelaskan bahawa kepastian berkaitan dasar yang dirasakan oleh pemain industri selepas penangguhan pelaksanaan P.U.(A) 402 dan Kaedah Insentif Penyesuaian Baru (New Customised Incentive Mechanism, NCM) membolehkan syarikat pengeluar kenderaan menjalankan perniagaan mengikut perancangan jangka panjang yang telah ditetapkan tanpa gangguan.
Berikutan prestasi jualan positif pada separuh pertama 2026, MAA telah menyemak semula ramalannya untuk TIV sepanjang tahun daripada 790,000 unit kepada 800,000 unit. TIV pada tahun lalu mencatat rekod 820,752 unit, mengatasi paras tertinggi sebelumnya iaitu 816,747 unit pada tahun 2024. Ini merupakan tahun kedua berturut-turut TIV melepasi paras 800k dan tahun keempat berturut-turut pertumbuhan pasca-pandemik Covid.

