Syarat pendaftaran lebih ketat bagi EV – perlu ada nombor siri, casis yang terang dan tidak terusik

Pada 24 Jun lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026. Di mana pindaan ini bertujuan memperkukuh kuasa penguatkuasaan dan membendung kesalahan jalan raya seperti lumba haram dengan mengenakan hukuman yang lebih berat.

Menerusi RUU itu, ia turut memperkenalkan syarat pendaftaran yang lebih ketat bagi kenderaan elektrik (EV) menerusi pindaan Seksyen 10 akta berkenaan. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, ia mengambil kira ketiadaan nombor enjin pada kenderaan elektrik, berbanding kenderaan berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE) konvensional, laporan Harian Metro.

“Bagi kenderaan motor elektrik, pindaan ini memperjelaskan bahawa kenderaan tersebut perlu mempunyai nombor siri kenderaan motor elektrik dan nombor casis yang terang, jelas, dan tidak terusik,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

Syarat pendaftaran lebih ketat bagi EV – perlu ada nombor siri, casis yang terang dan tidak terusik

Tambahnya, pindaan berkaitan Seksyen 17 pula memberi kuasa kepada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tidak mengeluarkan lesen kenderaan motor sekiranya butiran pengenalan kenderaan seperti nombor casis atau nombor siri EV didapati rosak, tidak jelas, atau dipercayai telah diusik bagi mengelakkan isu penipuan dan kenderaan klon.

Plat lesen khas (rekaan plat khas, RPK) khusus untuk kenderaan elektrik, JPJePlate, dilancarkan pada 9 September 2024. Menurut Kementerian Pengangkutan ketika itu, idea di sebalik pengenalan rekaan plat EV ini adalah sebagai projek perintis untuk membezakan antara kenderaan bebas emisi dengan kenderaan jenis pembakaran dalaman (ICE) lain.