MITI sedang perhalusi kaedah NCM lebih ringkas untuk bangunkan keupayaan sebenar industri tempatan

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) — bersama-sama agensi di bawahnya, MIDA dan MARii — sedang memperhalusi Kaedah Insentif Penyesuaian Baru (New Customised Incentive Mechanism, NCM) bagi memastikan pelaburan dalam industri automotif akan mampu membina keupayaan perindustrian sebenar.

“Ia akan menjadi versi ringkas yang mudah difahami oleh semua pihak, baik pemain industri hinggalah kepada agensi kerajaan,” jelas Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. NCM bukan pendekatan baru, dan telah lama dilaksanakan di Malaysia.

“Pertama, kami akan memudahkan NCM supaya setiap pemain industri dapat memahaminya dengan baik. Apabila saya bercakap dengan KSU MITI, Timbalan KSU, dan Timbalan CEO MIDA, mereka semua faham. Industri bukan hanya perlu faham, tetapi kita juga mesti memastikan bahawa semua pemain industri itu sendiri tahu dengan tepat cara mengiranya. Kita perlu memudahkan pemahaman terhadap perkara yang telah kita perkenalkan, atau memperkenalkan sesuatu yang baru juga ada keperluan,” ujar Johari ketika pelancaran Hab Auto MCE di Serendah, Selangor petang ini.

MITI sedang perhalusi kaedah NCM lebih ringkas untuk bangunkan keupayaan sebenar industri tempatan

“NCM yang dipermudahkan bertujuan untuk menggalakkan lokalisasi teknologi kritikal berbanding komponen pembuatan yang penting. Nilai terbesar dalam industri automotif masa depan terletak pada komponen kritikal seperti reka bentuk dan kejuruteraan, perisian, elektronik, teknologi bateri, sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) serta penyelesaian mobiliti pintar. Oleh itu, semua ini merupakan keupayaan yang Malaysia mahukan, walaupun ia mungkin mengambil masa yang lama untuk diraih,” katanya.

MITI, di bawah pengawasan Johari, sepertinya akan lebih tegas terhadap kandungan tempatan. “Adalah sama penting untuk memastikan kandungan tempatan yang dimaksudkan adalah penjanaan nilai tempatan. Memberi perhatian hanya terhadap pembekal Tahap 1 tidak lagi memberikan gambaran yang tepat. Kita mesti mengesan penjanaan nilai dalam seluruh rantaian bekalan yang ada — sama ada Tahap 1, Tahap 2 atau Tahap 3 — untuk memastikan bahawa insentif yang diberikan akan menyumbang kepada keupayaan pengeluaran sebenar di Malaysia, dan bukan sekadar kandungan import yang disamarkan sebagai pengeluaran tempatan,” ujarnya.

“Untuk melengkapkan perkara ini dan mengesan sebarang ketirisan, MITI juga akan mengukur prestasi eksport secara bersih untuk memberi ganjaran kepada pelabur dengan sewajarnya,” katanya sambil membayangkan pendekatan audit. Semua pemain industri di Malaysia pasti akan menyokong rangka kerja yang lebih telus dan lebih ketat, yang juga bermakna perlu dilaksanakan secara adil kepada semua, tanpa pengecualian khas atau layanan istimewa kepada hanya segelintir pihak sahaja.