JPJ giat banteras aktiviti ‘ulat teksi’ di KLIA – 133 kenderaan disita antara Jan hingga Jun tahun ini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan bahawa bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 151 kenderaan telah diperiksa menerusi operasi membanteras aktiviti ‘ulat teksi’ di sekitar Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, daripada jumlah itu, sebanyak 131 kenderaan telah diambil tindakan dan pihaknya turut menyita 133 kenderaan berkaitan kegiatan tersebut, laporan Berita Harian.

Manakala pada 12 hingga 26 Jun lalu, sebanyak 54 kenderaan disita dalam operasi yang sama termasuk membabitkan warga asing, yang menyasarkan pelancong sekitar Terminal 1 dan 2 KLIA, dengan 76 notis dikeluarkan termasuk enam kepada warga asing atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, kata Aedy Fadly.

“Daripada 54 kenderaan disita itu, 27 membabitkan kenderaan persendirian, dua kenderaan syarikat, sembilan teksi dan 16 kenderaan e-hailing. Kegiatan ulat dikesan menyasarkan pelancong yang baru tiba di balai ketibaan dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan tanpa permit pada kadar tambang jauh lebih tinggi daripada kadar sebenar.

“Sebelum ini terdapat kes melibatkan seorang pelancong dari China yang pada mulanya bersetuju membayar RM60 bagi perjalanan dari KLIA Terminal 2 ke Kuala Lumpur, namun akhirnya dipaksa membayar RM836 apabila tiba di destinasi. Mangsa turut mendakwa diugut dan tidak dibenarkan keluar daripada kenderaan sekiranya enggan membuat bayaran,” katanya pada sidang media di Terminal 2 KLIA semalam.

Beliau turut berkata, pihaknya memandang serius kegiatan berkenaan kerana bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencemarkan imej negara, menjejaskan industri pengangkutan awam berlesen serta memberi pengalaman buruk kepada pelancong, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Mana-mana kenderaan yang digunakan untuk menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa permit atau melanggar syarat permit akan disita mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. JPJ juga akan memohon perintah pelucuthakan terhadap kenderaan yang digunakan untuk kegiatan haram itu,” katanya..

Katanya lagi, JPJ juga akan meningkatkan rondaan di KLIA dengan menambah anggota penguat kuasa yang ditempatkan secara tetap di Terminal 1 dan Terminal 2 bagi memastikan kegiatan ulat dapat dibanteras secara berterusan.