Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjelaskan bahawa BMW 7 Series yang dinaiki oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu merasmikan Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional pada minggu lalu, bukanlah kenderaan rasmi baharu, sebaliknya merupakan aset sedia ada milik Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA) yang juga merupakan jabatan di bawah JPM.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, JPM berkata, BMW 7 Series Protection tersebut iaitu model yang dibina sebagai sebuah kenderaan kalis peluru, pada asalnya diperuntukkan bagi kegunaan rasmi negara, khususnya untuk ketua-ketua negara dan ketua-ketua kerajaan yang melakukan lawatan rasmi ke Malaysia, selaras dengan keperluan protokol antarabangsa dan aspek keselamatan.
“Bagi tujuan itu, kenderaan ini perlu memenuhi spesifikasi keselamatan yang direka untuk menahan ancaman balistik berkaliber tinggi, letupan, serta risiko keselamatan moden termasuk ancaman dron.
“Kenderaan itu dipilih untuk digunakan secara sementara oleh YAB Perdana Menteri atas nasihat dan penilaian keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan kenderaan rasmi YAB Perdana Menteri yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani penyelenggaraan,” jelas JPM lagi.
BMW 7 Series ini dibina di kilang BMW Dingolfing yang terletak di Jerman. Ia diperkuat dengan BMW Protection Core, di mana struktur badannya digabungkan dengan keluli berperisai yang dibentuk dalam suhu tinggi. Kemudian bahagian bumbung dan lantainya di sadur dengan material tahan letupan, manakala pada kaca-kaca cermin disertakan dengan lapisan dalaman polikarbonat.
Ia juga telah diperakui tahan peluru dan letupan VP9 oleh Persatuan Makmal Ujian Bahan dan Pembinaan Tahan Serangan Jerman (VPAM), dengan kaca-kaca cermin menerima penarafan VP10. Ini bermakna ia boleh menahan peluru penembak tepat R 7.62x54mm dan mesingan.


