Minggu lalu Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional di Kuala Lumpur. Kehadiran beliau ke majlis berkenaan dengan sebuah BMW 7 Series agak menarik perhatian kami kerana apa yang kami perasan ia bukan 7 Series biasa, sebaliknya adalah model istimewa BMW 7 Series Protection, iaitu model yang dibina sebagai sebuah kenderaan kalis peluru.
Sekali tengok, 7 series yang membawa Perdana Menteri ke-10 Malaysia ini nampak macam model biasa 7 Series generasi G70 sebelum facelift, malah hanya dipadankan dengan rim 20-inci berbanding rim 21-inci yang terdapat pada kebanyakkan 7 Series pasaran tempatan. Macam mana boleh kita kenal ini adalah 7 Series biasa atau 7 Series Protection? Paling mudah adalah melihat kepada cermin hadapan dan belakang serta semua cermin tingkap sedan mewah ini yang jelas jauh lebih tebal dari biasa.
BMW 7 Series ini dibina di kilang BMW Dingolfing yang terletak di Jerman. Ia diperkuat dengan BMW Protection Core, di mana struktur badannya digabungkan dengan keluli berperisai yang dibentuk dalam suhu tinggi. Kemudian bahagian bumbung dan lantainya di sadur dengan material tahan letupan, manakala pada kaca-kaca cermin disertakan dengan lapisan dalaman polikarbonat.
Secara keseluruhan kereta ini sebenarnya bukan hanya kalis peluru, malah boleh bertahan dari serangan dron dan bom tangan. Tangki bahan api BMW 7 Series Protection ini juga agak istimewa di mana ia diberikan bahan pengedap sendiri yang boleh mengelakkan kebocoran akibat tembakan peluru.
Rim aloi Style 905 20-inci dengan tayar yang lebih tebal pada BMW 7 Series PMX ini mungkin nampak kurang menarik berbanding rim 21. Namun ia sebenarnya dipadankan dengan tayar istimewa Michelin Primacy 4 yang menampilkan teknologi PAX run-flat yang menggunakan cecincin solid sekeliling tayar tersebut, bukan dengan sekadar dinding sisi lebih keras seperti tayar run-flat biasa. Dengan teknologi ini membolehkan kereta ini dipandu pada kelajuan 80 km/j walaupun tayar sudah bocor.
BMW 7 Series Protection ini telah diperakui tahan peluru dan letupan VP9 oleh Persatuan Makmal Ujian Bahan dan Pembinaan Tahan Serangan Jerman (VPAM), dengan kaca-kaca cermin menerima penarafan VP10. Ini bermakna ia boleh menahan peluru penembak tepat R 7.62x54mm dan mesingan.
Untuk menggerakkan sedan ini, Ia dibekalkan dengan enjin V8 S68 4.4 liter turbo berkembar yang dibantu oleh sistem hybrid ringkas 48-volt.Unit rangkaian kuasa tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan 530 PS dan tork maksima 750 Nm, di mana kuasa tersebut dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda xDrive, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.
Ia juga menerima talaan khas pada suspensi bagi menampung berat badan yang lebih besar, serta dipadankan dengan stereng gandar belakang secara standard bagi memastika ia kekal lincah.
Antara perincian lain yang turut diberikan pada sedan mewah dengan perlindungan keselamatan maksima ini termasuk pintu automatik, tempat duduk pelbagai fungsi dibalut dengan kulit Merino, serta pelindung cahaya matahari dengan posisi “spy” istimewa yang membolehkan Perdana Menteri melihat keluar tetapi masih terlindung dari pandangan luar ke bahagian dalam.
Kenderaan dengan kelengkapan keselamatan sebegini sememangnya diperlukan untuk seorang pemimpin tinggi seperti PMX walaupun sebelum ini beliau memberitahu bahawa beliau lebih suka menggunakan Toyota Camry. Apa pula pendapat anda?



BMW iX1 L
dari RM 252,800
BMW iX
dari RM 425,800
BMW X3
dari RM 325,800
BMW M5
dari RM 1,188,800
BMW M4 Coupe
dari RM 878,800
BMW 2 Series Gran Coupe
dari RM 218,800
BMW 3 Series
dari RM 265,800
BMW 3 Series M
dari RM 388,800
BMW i4
dari RM 294,800