Honda Malaysia ‘One Nation, Shared Rewards’ Julai ini — potongan hingga RM15k dengan diskaun rahsia

Memasuki bulan Julai bermakna kita juga baru memasuki separuh kedua tahun 2026. Sempena menandai garis masa berkenaan, Honda Malaysia menawarkan promosi khas sepanjang bulan ini — rebat menarik untuk barisan kenderaan baru keluaran syarikat itu.

Promosi One Nation, Shared Rewards anjuran Honda Malaysia yang berlangsung sepanjang bulan ini menawarkan rebat tunai maksimum sehingga RM34,000. Seperti biasa, jumlah itu dikhaskan untuk model elektrik e:N1 EV — yang diberikan diskaun RM34,000 — menjadikan harga promosi bagi “HR-V elektrik” tersebut adalah RM115,900, dengan jumlah rebat tunai tambahan One Nation, Shared Rewards yang tidak didedahkan. Ini adalah bagi unit keluaran MY2025.

Selain daripada tawaran istimewa untuk model CBU, semua model CKD keluaran Honda Malaysia yang dipasang pada tahun 2026 turut disertakan dalam promosi yang sama. Semua varian Honda City Hatchback diberikan diskaun RM8,000, manakala sedan City ditawarkan juga dengan diskaun RM8,000 (bagi varian S, e:HEV RS) dan RM10,000 (untuk varian E, V, RS). Bagaimanapun, hanya varian RS petrol satu-satunya varian yang mendapat rebat tunai tambahan One Nation, Shared Rewards ini.

Honda Malaysia ‘One Nation, Shared Rewards’ Julai ini — potongan hingga RM15k dengan diskaun rahsia

Jika inginkan model Civic, jumlah diskaun yang disediakan adalah sebanyak RM8,000 (untuk e:HEV RS); RM10,000 (untuk E, V); atau RM12,000 untuk RS. Dua varian RS — petrol dan hibrid — juga akan menikmati rebat tunai tambahan di bawah promosi One Nation Shared Rewards.

Untuk SUV keluarga, WR-V yang paling kecil diberikan rebat RM11,000 secara keseluruhan kecuali untuk varian RS, yang menikmati diskaun RM9,000 dan tambahan rebat One Nation, Shared Rewards. Bagi HR-V S, E dan V dengan varian kamera 360-darjah, ia diberikan potongan RM8,000. Jika melilih varian V pula, anda akan menerima pulangan RM12,000. Jika anda mahukan varian e:HEV RS, model dengan kamera 360-darjah mendapat potongan RM11,000, manakala kereta tanpa kamera itu pula mendapat diskaun menakjubkan sebanyak RM15,000.

Akhir sekali, untuk pembeli CR-V, mereka akan menikmati potongan harga sama ada sebanyak RM9,000 (e:HEV E, e:HEV RS) atau RM12,000 (V). Diskaun di atas adalah untuk kenderaan yang didaftarkan bermula sekarang hingga 31 Julai nanti, dan anda perlu mengetahui jumlah rebat tunai tambahan One Nation Shared Rewards daripada pengedar sendiri. Prelude bernilai RM278k yang baru dilancarkan pula tidak termasuk dalam senarai promosi ini.