Proton Savvy Sedan oleh Theophilus Chin — sekali lagi selepas 20 tahun pertama kali muncul di paultan.org

Nama Theophilus Chin memang sudah sinonim dengan rekaan bayangan secara digital ke atas banyak model kenderaan, terutamanya model keluaran tempatan. Karya pertamanya yang diterbitkan di paultan.org pula ialah Proton Savvy, yang menyaksikan Theo menghasilkan versi sedan kereta itu, 20 tahun lalu.

Sebagai memperingati peristiwa tersebut, Theo sekali lagi membayangkan semula Savvy, tetapi dari sudut pandang berbeza. Dalam hasil terbarunya beliau menawarkan sudut pandangan tiga suku untuk bahagian hadapan dan belakang rekaan terbabit. Semua ini adalah berpandukan pandangan sisi rekaan yang dihasilkannya pada 2006.

Savvy pra-facelift ialah versi yang menjadi rujukan untuk rendering ini, yang boleh dikenal pasti dengan melihat bilah mendatar dalam gril hadapannya, manakala Savvy facelift yang dilancarkan pada tahun 2007 menggunakan jaringan heksagon untuk kedua-dua saluran masuk udara hadapan, di bahagian atas dan bawahnya.

Proton Savvy Sedan oleh Theophilus Chin — sekali lagi selepas 20 tahun pertama kali muncul di paultan.org

Rekaan Proton Savvy Sedan pertama oleh Theophilus Chin, 2006.

Untuk bentuk sedan, semakan yang dilakukan adalah tertumpu di bahagian belakang Savvy. Di sini, Theo telah mengadaptasi rekaan dari bahagian belakang Honda Amaze 2025, memindahkan plat lesen dari kedudukan asal model Honda terbabit agar selari dengan lampu belakang, dan sedikit ke bahagian bawah ke bampar. Theo juga mengekalkan saluran keluar ekzos tunggal di tengah untuk versi sedan ini, seperti juga model hatchback.

Selepas 20 tahun dari rekaan pertama, adakah bayangan digital Savvy sedan oleh Theophilus Chin ini mempunyai daya tarikan tersendiri berbanding versi hatchback dahulu?