Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengenal pasti 94 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia untuk dinaik taraf dari segi infrastruktur keselamatan jalan raya pada tahun ini, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM33.05 juta, laporan Bernama.
Di mana sebanyak 77 lokasi telah dikenal pasti di bawah Program Blackspot (Lokasi Berisiko Tinggi) dengan peruntukan sebanyak RM27.85 juta, manakala 17 lagi lokasi akan dinaik taraf menerusi Program Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI) dengan peruntukan sebanyak RM5.2 juta.
Program naik taraf ini dijangka dapat meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta menyumbang kepada kesejahteraan pengguna jalan raya di 11 negeri dan 36 daerah, menurut laporan tersebut.
“Antara inisiatif utama yang dilaksanakan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meningkatkan infrastruktur keselamatan jalan raya secara menyeluruh ialah Program Blackspot, yang merupakan pendekatan strategik kementerian dalam menangani lokasi berisiko tinggi yang dikenal pasti berdasarkan analisis data Road Accident Management System (RAMS), yang digunakan di seluruh negara sejak tahun 2021,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menurut Nanta, lokasi Blackspot dikenal pasti berdasarkan beberapa kriteria, termasuk berlakunya tiga kemalangan dengan corak yang sama, atau lima kemalangan daripada jenis yang berbeza dalam tempoh tiga tahun, yang berlaku dalam lingkungan 50 meter dari pusat lokasi kejadian atau sepanjang 100 meter jajaran jalan.
Tambahnya, sebanyak 342 lokasi Blackspot telah berjaya dinaik taraf sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM118.5 juta. Inisiatif ini telah membantu mempertingkatkan infrastruktur keselamatan jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan perlindungan kepada pengguna jalan raya.
Selain itu, sebanyak 154 lokasi turut dinaik taraf dengan kemudahan Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI) melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM39.79 juta. Menurut beliau, usaha ini bertujuan meningkatkan keselamatan pejalan kaki, mengurangkan risiko kemalangan serta memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap infrastruktur jalan raya negara.









