Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa untuk minggu bertarikh 23 hingga 29 Julai 2026, harga runcit bagi petrol RON 97 dinaikkan sebanyak 20 sen seliter, menjadi RM4.20 seliter.
Begitu juga RON95 tanpa subsidi yang dinaikkan sebanyak 20 sen seliter, kini RM3.62 seliter. Manakala harga bersubsidi di bawah program Budi95 tetap dikekalkan pada RM1.99 seliter. Untuk Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), ia masih ditetapkan pada harga RM2.05 seliter.
Manakala harga diesel tanpa subsidi dinaikkan sebanyak 35 sen seliter, menjadi RM4.42 seliter.
Walau bagaimana pun diesel di bawah program subsidi Budi Diesel masih berharga RM2.10 seliter. Bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula, ia masih ditetapkan pada RM2.15 seliter.
Menurut MoF, harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi oleh pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu. Di mana harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 16% sepanjang minggu lalu apabila konflik antara Amerika Syarikat dan Iran kembali memuncak selepas berakhirnya tempoh gencatan senjata. Sekatan terhadap perkapalan serta pengurangan aliran kapal melalui Selat Hormuz telah meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global.
Semua harga runcit yang dinyatakan ini berkuatkuasa pada 12 tengahmalam ini (23 Julai) sehingga jam 11.59 malam pada 29 Julai 2026. Ini merupakan edisi ke-31 bagi format harga minyak mingguan untuk tahun 2026, dan yang ke-394 secara keseluruhan sejak format ini diperkenalkan pada tahun 2019.

