KLIMS bakal kembali pada 2028 dengan peningkatan

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengesahkan bahawa Pameran Mobiliti Kuala Lumpur (KLIMS) akan kembali lagi pada tahun 2028. Perkara ini dimaklumkan ketika taklimat media berkaitan prestasi industri automotif tempatan bagi tempoh separuh pertama 2026 yang diadakan semalam.

Garis masa ini selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) antara MAA dan Institut Robotik dan IoT Automotif Malaysia (MARii) untuk menganjurkan pameran automotif di Malaysia secara berselang-seli dari 2025 hingga 2028. Tahun hadapan adalah giliran MaRii untuk menganjurkan Malaysia Autoshow (MAS) 2027.

MAA juga menyatakan bahawa mereka sedang mengusahakan penambahbaikan terhadap penganjuran pameran tersebut. “Saya fikir adalah penting bagi ahli MAA untuk bekerjasama rapat dalam menyempurnakan pameran ini. Seperti yang dapat di lihat, beberapa jenama tidak menyertai KLIMS 2026. Maka, saya ingin menggalakkan agar semua ahli MAA mempertimbangkan penyertaan mereka untuk edisi akan datang,” jelas presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain.

“Kami juga sedang mengkaji semula pendekatan yang diterapkan, bukan sahaja berkaitan penyertaan ahli, tetapi juga pendekatan dari sudut bagaimana kami ingin mengendalikan pameran tersebut. Buat masa ini, kami sedang merancang bersama ahli-ahli persatuan ini untuk mencari penyelesaian terbaik dan apa yang boleh kami lakukan untuk edisi 2028 nanti. Menjelang akhir tahun nanti, kami mungkin akan mempunyai idea yang lebih jelas tentang itu,” katanya.

KLIMS 2026 telah menyaksikan seramai 205,440 pengunjung yang hadir dalam edisi terbarunya itu sepanjang tempoh 10 hari acara bdari 12 hingga 21 Jun di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), berbanding 183,221 pengunjung di KLIMS 2024 yang telah diadakan selama tujuh hari.