Individu masih memandu kenderaan walau lesen digantung/dibatalkan boleh dipenjara hingga 3 tahun

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah menegaskan bahawa individu yang masih berdegil memandu kenderaan walaupun lesen mereka digantung atau dibatalkan oleh mahkamah bakal berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026, laporan Harian Metro.

Jelas beliau, pindaan terhadap Seksyen 32 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) itu dibuat untuk meningkatkan hukuman sedia ada bagi menggalakkan pematuhan undang-undang dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Di mana pindaan itu meningkatkan hukuman penjara daripada tempoh tidak melebihi satu tahun kepada tidak melebihi tiga tahun, selain denda ditingkatkan kepada tidak kurang daripada RM3,000 atau tidak melebihi RM10,000.

“Hilang kelayakan merujuk kepada keadaan seseorang tidak dibenarkan memandu kerana lesen memandunya digantung, dibatalkan atau beliau dihalang daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu oleh mahkamah,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara semalam.

Pada 24 Jun lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan RUU berkenaan bagi membolehkan pindaan ini terus memperkukuhkan kuasa penguatkuasaan dan membendung kesalahan jalan raya termasuk lumba haram dengan mengenakan hukuman yang lebih berat.