Jualan kenderaan baru di Malaysia terus mencatat pertumbuhan pada separuh pertama (1H) 2026 apabila sebanyak 385,353 unit berjaya didaftarkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Menurut data yang dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah tersebut meningkat 3% berbanding 373,636 unit yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu,
Prestasi itu menyaksikan hampir separuh daripada unjuran Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) asal MAA bagi 2026 sebanyak 790,000 unit telah dicapai. Dengan baki enam bulan lagi, yang lazimnya merupakan tempoh jualan lebih kukuh, MAA kini menyemak naik unjuran TIV tahun ini kepada 800,000 unit.
Sebagai perbandingan, industri automotif tempatan mencatat rekod tertinggi tahun lalu dengan jualan keseluruhan mencecah 820,752 unit, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 816,747 unit yang dicatatkan pada 2024. Dari segi segmen, kenderaan elektrik (EV) terus menjadi penyumbang pertumbuhan paling ketara.
Sepanjang separuh pertama 2026, jualan EV meningkat 106% tahun ke tahun daripada 12,733 unit kepada 26,192 unit. Kenderaan hibrid turut merekodkan peningkatan, namun pada kadar yang lebih sederhana iaitu 43%, daripada 17,840 unit kepada 25,590 unit.
Sekiranya momentum ini berterusan sehingga penghujung tahun, 2026 berpotensi menjadi tahun pertama menyaksikan jualan EV mengatasi kenderaan hibrid di Malaysia. Walaupun mencatat pertumbuhan yang sangat memberangsangkan, EV masih hanya menyumbang sekitar 6.8% daripada keseluruhan TIV.
Jika digabungkan dengan jualan kenderaan hibrid, jumlah kenderaan elektrifikasi yang terjual meningkat 69% daripada 30,573 unit kepada 51,782 unit, bersamaan 13.4% daripada keseluruhan jualan industri. MAA bagaimanapun tidak mendedahkan pecahan jualan mengikut jenama.
Namun berdasarkan angka yang dikongsi Proton sebelum ini, model Proton eMas 5 dilihat menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan segmen EV selepas mencatat jualan sebanyak 10,665 unit bagi tempoh Januari hingga Jun 2026. Sementara itu, Proton eMas 7 pula merekodkan 2,865 unit dalam tempoh sama.
Perlu diingatkan bahawa statistik MAA tidak merangkumi pendaftaran Tesla kerana syarikat itu bukan ahli persatuan berkenaan. Selain EV, segmen SUV turut meneruskan momentum positif dengan pertumbuhan sebanyak 19% pada separuh pertama tahun ini. Trend itu tidak mengejutkan memandangkan SUV kini menjadi pilihan utama pembeli, khususnya bagi kenderaan keluarga dalam julat harga melebihi RM100,000.
Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tujuh daripada 20 model paling laris bagi tempoh enam bulan pertama 2026 terdiri daripada SUV, termasuk Proton X50, Perodua Traz, Perodua Ativa, Honda HR-V, Toyota Corolla Cross, rangkaian Chery Tiggo serta Proton eMas 7 PHEV. Jika Perodua Aruz turut dikategorikan sebagai SUV, jumlah tersebut meningkat kepada lapan model.
Sebaliknya, segmen trak pikap mengalami penyusutan apabila jualannya merosot 19% berbanding tempoh sama tahun lalu. Menurut MAA, antara faktor utama ialah kenaikan harga diesel sebelum pelaksanaan semula penyelarasan subsidi menerusi program Budi Diesel, yang kini selari dengan skim subsidi petrol Budi95.
Harga diesel yang lebih tinggi sebelum itu menyebabkan permintaan daripada pengguna persendirian atau pembeli trak pikap berorientasikan gaya hidup berkurangan, memandangkan kebanyakan model dalam segmen ini menggunakan enjin diesel.
Satu lagi perkembangan penting ialah penguasaan jenama nasional yang terus mengukuh dalam pasaran tempatan. Pada separuh pertama 2026, Proton dan Perodua menguasai 67% daripada keseluruhan jualan kenderaan baru, manakala baki 33% dikongsi oleh semua jenama bukan nasional.
Penguasaan itu meningkat empat mata peratusan berbanding tempoh sama tahun lalu apabila nisbah jualan antara jenama nasional dan bukan nasional berada pada kadar 63:37, sekaligus mencerminkan kedudukan Proton dan Perodua yang semakin kukuh dalam pasaran automotif Malaysia.




