KTMB tingkatkan perkhidmatan Komuter Sektor Utara – jadual baharu dengan 6 tren tambahan mulai 24 Julai

Berita baik untuk pengguna KTM Komuter Sektor Utara. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan akan melaksanakan penambahbaikan jadual perkhidmatan KTM Komuter Sektor Utara berkuat kuasa 24 Julai ini bagi memenuhi permintaan penumpang yang semakin meningkat serta meningkatkan keselesaan perjalanan khususnya pada waktu puncak.

KTMB berkata, penambahbaikan ini melibatkan penambahan enam perkhidmatan tren setiap hari, merangkumi dua perkhidmatan tambahan bagi laluan Padang Besar – Butterworth – Padang Besar dan empat perkhidmatan tambahan bagi laluan Ipoh – Butterworth – Ipoh. Dengan enam perkhidmatan baharu ini, KTM Komuter Sektor Utara bakal mempunyai sejumlah 62 perkhidmatan setiap hari.

“Bagi laluan Ipoh – Butterworth, masa menunggu pada waktu puncak pagi turut berjaya dikurangkan kepada 55 minit, berbanding melebihi 120 minit sebelum ini.

KTMB tingkatkan perkhidmatan Komuter Sektor Utara – jadual baharu dengan 6 tren tambahan mulai 24 Julai

Klik untuk besarkan

“Selain meningkatkan kekerapan perkhidmatan, KTMB turut melanjutkan waktu operasi tren akhir bagi memberi lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang, sekali gus membolehkan mereka merancang perjalanan harian dengan lebih mudah, fleksibel dan selesa,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Tambah KTMB, melalui penambahan perkhidmatan ini juga, masa menunggu penumpang di laluan Padang Besar – Butterworth pada waktu puncak petang akan dikurangkan kepada 30 minit, berbanding 60 minit. Penambahan tersebut melibatkan tren 2953 yang berlepas dari Padang Besar – Buterworth jam 6.05 petang dan tren 2960 yang berlepas dari Butterworth – Padang Besar pada jam 8.45 malam daripada jadual sedia ada.

“Penambahbaikan jadual ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 penumpang sehari atau 7.3 juta penumpang setahun, khususnya melibatkan pengguna yang berulang-alik bagi tujuan pekerjaan, pendidikan dan urusan harian di sepanjang koridor perkhidmatan KTM Komuter Sektor Utara,” katanya lagi.