Pengumuman oleh Kementerian Kewangan (MOF) bulan lalu bahawa pelaksanaan penilaian semula duti eksais berkaitan nilai pasaran terbuka (OMV) sekali lagi ditangguhkan hingga akhir tahun 2026. Ini membolehkan syarikat pengeluar kenderaan untuk meneruskan operasi mereka seperti sedia ada hingga hujung tahun ini, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor bin Mohd Zain.
Secara berasingan, penagguhan dalam memperkenalkan Mekanisme Insentif Penyesuaian Baru (NCM), yang sedang disediakan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) — bersama agensi di bawahnya seperti MIDA dan MARii — juga menyediakan ruang kepada industri automotif untuk merancang perubahan yang dijangka berlaku apabila ia akhirnya diperkenalkan kelak.
“Penangguhan pelaksanaan OMV/402 yang sepatutnya bermula akhir bulan Jun lalu, serta insentif penyesuaian baru telah memberikan kepastian yang lebih besar kepada pengeluar dan pengedar sekali gus membolehkan operasi perniagaan dan aktiviti jualan kami diteruskan tanpa gangguan dalam jangka masa pendek,” tambah Shamsor lagi.
Berkaitan OMV/402, beliau menjelaskan bahawa tiada kejutan selanjutnya yang dijangka berlaku. Tempoh masa tambahan itu bertujuan untuk kementerian serta pihak-pihak terlibat memuktamadkan pengiraan mereka, seperti apa yang pernah beliau nyatakan pada Januari dan bulan lalu.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, berdasarkan sesi libat urus yang kami lakukan bersama kerajaan, mereka sedang berusaha ke arah dasar yang mempunyai kesan minimum atau tiada kesan langsung terhadap harga kenderaan. Saya fikir kelewatan yang berlaku ada kaitan dengan terma dan kaedah pengiraan yang terlibat, dan itu memerlukan sedikit masa kerana semua pengeluar mempunyai cara masing-masing yang berbeza untuk menjalankan perniagaan,” katanya.
“Kami akan menyerahkannya kepada pakar-pakar dalam kerajaan dan di Kementerian Kewangan untuk menghasilkan formula tersebut. Bagaimanapun kami telah diberi komitmen bahawa ia hanya akan melibatkan kesan yang minimum, atau bahkan tiada kesan langsung,” jelasnya. Lebih penting lagi, sebaik sahaja semua itu ditetapkan dan disahkan, pemain industri akan diberikan masa yang mencukupi untuk melaksanakannya.
Bagi NCM yang juga telah ditangguhkan, MAA menjelaskan bahawa pihaknya telah beberapa kali berbincang dengan MITI, serta maklum balas yang diterima adalah positif. Bakal ada lagi susulan perbincangan mengenai NMC. “Kami berharap agar dasar-dasar yang bakal ditentukan nanti akan membolehkan kelangsungan industri sedia ada untuk meneruskan perniagaan, dan dalam masa yang sama dapat juga memenuhi objektif yang ditetapkan oleh kerajaan dan membangunkan ekosistem keseluruhan yang lebih mapan,” tambahnya.
Menjawab soalan kami sama ada mekanisme baru itu akan menampilkan penelitian yang lebih tinggi terhadap kandungan tempatan, beliau menyatakan yang perkara itu mungkin berlaku. “Saya fikir tumpuan akan lebih kepada peningkatan kandungan tempatan, serta lebih banyak pembangunan vendor dan pemindahan teknologi yang terlibat,” jawabnya.



