Selepas beberapa kali dipertontonkan di khalayak ramai, hari ini secara rasmi Jetour T1 dilancarkan ke pasaran Malaysia. Ia ditawarkan terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dengan dua pilihan varian iaitu 1.5T 2WD dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM129,800, dan juga 2.0T XWD dijual pada harga RM146,800.
Jetour Malaysia turut menawarkan rebat istimewa sebanyak RM2,000 untuk 2,000 pelanggan terawal yang mendaftarkan Jetour T1 masing-masing, membolehkan ia dijual pada harga lebih rendah iaitu RM127,800 untuk varian 1.5T 2WD dan RM144,800 untuk varian 2.0T XWD.
Jetour T1 ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,705 mm panjang, lebar 1,967 mm, tinggi 1,843 mm dan jarak roda sejauh 2,800 mm. Jadi ia sebenarnya menampilkan saiz yang hampir sama seperti Jetour T2 dengan jarak roda yang sama, 39 mm kurang lebar dan 100 mm lebih panjang sekiranya perumah tayar ganti T2 dicabut.
Apa yang jelas berbeza antara kedua-dua model adalah penampilan masing-masing di mana T2 direka dengan rupa seperti ‘selalu ke hutan’, manakala T1 pula lebih banyak ‘merayau’ di dalam bandar. Walau bagaimanapun T1 ini masih menampilkan banyak perincian yang nampak lasak.
Muka T1 ini masih agak seiras dengan T2, menerima inspirasi dari Ford Bronco. Namun pada bahagian belakang, T1 tiada perumah tayar gantian serta menerima lampu dengan perumah petak tetapi grafik yang membuatkan ia nampak seperti bulat, berbeza berbanding T2 yang nampak seperti Land Rover Defender. Ia juga tidak disertakan dengan perumah tayar gantian.
Bagi perincian luaran, varian asas 1.5T 2WD diberikan lampu hadapan dan belakang LED penuh, rim aloi 18-inci dan juga pintu tailgate belakang bantuan kuasa. Manakala varian 2.0T XWD pula nampak lebih ‘berisi’ dengan perincian luaran tambahan termasuk rim aloi 19-inci dan juga bumbung suria panaromik.
Untuk unit rangkaian kuasa pula, varian 1.5T 2WD digerakkan dengan enjin 1.5 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa 170 PS dan tork maksima 270 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan bagi memacu hanya roda hadapan. Jetour Malaysia menyatakan bahawa varian ini telahpun menerima penarafan EEV selepas diuji di makmal Pusat Ujian Pelepasan Karbon Nasional (NETC) di Rawang dengan mencatatkan penggunaan bahan api 6.8 liter/100 km.
Bagi varian 2.0T XWD pula, ia menerima enjin 2.0 liter empat-silinder turbo yang sama seperti T2, menghasilkan kuasa 245 PS dan tork maksima 375 Nm. Enjin berkenaan masih digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, tetapi ditambah dengan sistem pacuan semua roda serta mod pemanduan ‘7+X’ (Eco, Normal, Sport, Mud, Snow, Sand dan X). Varian ini turut menerusi ujian yang sama serta menerima penarafan EEV dengan kadar penggunaan bahan api 7.6 liter/100km.
Pada bahagian dalaman, T1 masih menerima papan pemuka yang nampak seiras seperti T2, dibezakan hanya pada corong pendingin hawa dan pada konsol tengah. SUV lima tempat duduk ini menawarkan perehat badan kerusi belakang yang boleh dilaras, serta ruang kargo berkapasiti 574 liter dengan semua kerusi dinaikkan, dan ia boleh dibesarkan sehingga 1,455 liter sekiranya kerusi baris kedua dilipat rata sepenuhnya.
Antara perincian dalaman standard yang dibekalkan pada varian 1.5T 2WD termasuk upholsteri leatherette berwarna hitam dengan serlahan benang oren, tempat duduk pemandu lasaran kuasa dengan fungsi pengalir udara, skrin infotainmen 12.8-inci dengan fungsi arahan suara serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, lapan-pembesar suara, lampu suasana monokrom, pemantau pandangan panaromik, pad pengecas tanpa wayar 50 watt serta tujuh port USB.
Manakala bagi varian 2.0T XWD pula, ia menerima tambahan kelengkapan dalaman termasuk fungsi memori pada tempat duduk pemandu, tempat duduk penumpang hadapan lasaran kuasa dan turut dilengkapi sokongan ottoman pada bahagian kaki, skrin tengah lebih besar bersaiz 15.6-inci, sistem audio Sony dengan sembilan-pembesar suara serta lampu suasana kabin 64-warna.
Manakala bagi keselamatan pula kedua-dua varian Jetour T1 pasaran Malaysia ini diberikan sistem pemantau angin tayar serta menerima enam-beg udara serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2 dengan fiungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dan pelbagai lagi, membolehkan ia menerima pengiktirafan lima-bintang dalam ujian ASEAN NCAP.
Pelanggan di Malaysia boleh memilih Jetour T1 dalam pilihan warna badan Khaki White, Aviation Silver, Sand Gold dan Carbon Black. Setiap pembelian SUV ini diberikan perlindungan waranti selama tujuh tahun/150,000 km untuk waranti kenderaan, 10-tahun/1,000,000 juta km untuk waranti unit rangkaian kuasa serta servis percuma termasuk alat ganti dan kos upah sebanyak lima kali.
GALERI: Jetour T1 1.5T 2WD2026
GALERI: Jetour T1 2.0T XWD 2026
GALERI: Brosur rasmi Jetour T1 2026 pasaran Malaysia



Jetour T2
dari RM156,800
Jetour VT9
dari RM119,350
Jetour Dashing
dari RM106,800