Hujung April lalu, Jetour Malaysia telahpun membuka tempahan untuk SUV lasak yang lebih kecil dari Jetour T2 iaitu Jetour T1. Kalau anda nak tengok model ini sebelum ia dilancarkan secara rasmi, ia kini sedang dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 12 hingga 21 Jun.
Jetour T1 merupakan SUV dengan lima-tempat duduk – walaupun ia nampak lasak, T1 masih dibina berasaskan casis unibody, bukan jenis ladder frame. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,705 mm panjang, lebar 1,967 mm, tinggi 1,843 mm dan jarak roda sejauh 2,800 mm. Jadi berbanding T2 ia adalah 80 mm lebih pendek dan 39 mm kurang lebar. Namun sekiranya perumah tayar ganti T2 dicabut, T1 ini sebenarnya adalah 100 mm lebih panjang. Malah jarak roda kedua-dua model ini juga sebenarnya adalah sama.
Muka T1 ini masih agak seiras dengan T2, menerima inspirasi dari Ford Bronco. Namun pada bahagian belakang, T1 nampak lebih seperti SUV bandar biasa, tidak seperti T2 yang nampak seperti Land Rover Defender. Ia juga tidak disertakan dengan perumah tayar gantian dan pintu tailgate diberikan bantuan kuasa. Manakala pada bahagian dalaman, papan pemuka T1 ini nampak seiras seperti T2, dibezakan hanya pada corong pendingin hawa dan pada konsol tengah.
Untuk pasaran Malaysia, Jetour T1 ini akan ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5T 2WD dan juga 2.0T XWD. Antara perincian standard yang diberikan termasuk lampu hadapan dan belakang LED penuh, rim aloi 18-inci, upholsteri leatherette, tempat duduk pemandu lasaran kuasa, skrin infotainmen 12.8-inci dengan fungsi arahan suara, lapan-pembesar suara, lampu suasana monokrom dan pemantau pandangan panaromik.
Manakala bagi keselamatan pula Jetour T1 pasaran Malaysia ini menerima enam-beg udara serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2 yang membolehkan ia menerima pengiktirafan lima-bintang dalam ujian ASEAN NCAP.
Bagi varian 2.0T XWD ia ditambah dengan mod pemanduan ‘7+X’, rim aloi 19-inci, bumbung suria panaromik, fungsi memori pada tempat duduk pemandu, tempat duduk penumpang hadapan lasaran kuasa, skrin tengah lebih besar bersaiz 15.6-inci, sistem audio Sony dengan sembilan-pembesar suara, lampu suasana kabin 64-warna.
Unit yang dipamerkan di KLIMS ini merupakan dari varian 2.0T XWD. Bagi pasaran Malaysia, T1 hanya akan ditawarkan dengan kabin berwarna hitam sepenuhnya, dan ia tidak diberikan tayar all tertain (AT) seperti T2.
Jetour Malaysia masih belum mendedahkan spesifikasi untuk unit rangkaian kuasa. Namun kami jangkakan model 2.0T akan menerima enjin 2.0 liter empat-silinder turbo yang sama seperti T2, menghasilkan kuasa 245 PS dan tork maksima 375 Nm dan ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.
Bagi model 1.5T pula, ia mungkin sama seperti T1 pasaran China di mana enjin 1.5 liter turbo berkenaan menghasilkan kuasa 184 PS dan tork 290 Nm serta turut digandingkan dengan kotak gear 7DCT. Pelanggan di Malaysia boleh memilih Jetour T1 dalam pilihan warna badan Khaki White, Aviation Silver, Sand Gold dan Carbon Black.
Jetour T1 ini berkemungkinan besar turut akan dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) sama seperti T2 bagi membolehkan ia dijual pada harga yang kompetitif. Harga sebenarnya masih lagi belum diputuskan, namun harga anggarannya telah diumum oleh Jetour Malaysia di mana varian 1.5T 2WD dianggar akan dijual pada harga RM143,800 dan varian 2.0T XWD dianggar akan dijual pada harga RM153,800.
Sekiranya harga yang diumum ini rasmi kelak, ini bermakna harga bagi Jetour T1 2.0T XWD hanya RM1,000 kurang berbanding Jetour T2 yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM157,669. Namun kami jangkakan harga jualan sebenar kelak mungkin lebih rendah. Ini kerana sebelum ini harga anggaran untuk T2 diumum pada RM179k dan ia turut ditawarkan dengan pelbagai rebat pembeli terawal.
Perlindungan waranti untuk T1 juga mungkin sama dengan T2 yang diumumkan selama tujuh tahun/150,000 km untuk waranti kenderaan, 10-tahun/1,000,000 juta km untuk waranti unit rangkaian kuasa serta servis percuma termasuk alat ganti dan kos upah sebanyak lima kali.



