20 jenama EV terlaris Mei 2026 – Proton sudah atasi jumlah keseluruhan tahun lepas, Perodua ke-10

Proton terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia apabila mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi bagi lima bulan pertama tahun 2026. Berdasarkan data terkini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tempoh berakhir Mei 2026, sebanyak 1,779 unit EV Proton didaftarkan sepanjang bulan tersebut, namun adalah lebih rendah berbanding 2,408 unit yang direkodkan pada April.

Apa yang lebih menarik, jumlah pendaftaran terkumpul Proton bagi tahun ini sudah mencecah 11,642 unit. Pencapaian tersebut bukan sahaja melepasi angka 10,000 unit, malah sudah mengatasi keseluruhan jualan EV yang dicatatkan syarikat itu sepanjang tahun 2025.

Sebagai perbandingan, Proton merekodkan sebanyak 8,890 unit pendaftaran EV sepanjang tahun lalu, sekaligus menduduki tempat kedua di belakang BYD yang mencatatkan 14,407 unit. Dengan masih berbaki tujuh bulan sebelum tahun 2026 berakhir, Proton telah berjaya melangkaui prestasi setahun penuh yang dicapai pada tahun sebelumnya.

BYD pula kekal sebagai pencabar terdekat di tempat kedua dengan 925 unit didaftarkan pada Mei. Prestasi itu menurun berbanding 1,413 unit pada April, yang sebahagiannya dipengaruhi oleh persediaan jenama tersebut untuk pelancaran versi facelift Atto 3. Namun begitu, BYD masih mengekalkan kedudukan kedua dengan jumlah terkumpul sebanyak 4,599 unit setakat tahun ini.

20 jenama EV terlaris Mei 2026 – Proton sudah atasi jumlah keseluruhan tahun lepas, Perodua ke-10

Di tempat ketiga ialah iCaur yang mencatatkan 522 unit pada Mei, menjadikan jumlah keseluruhan tahunannya meningkat kepada 2,071 unit. Zeekr pula menduduki tangga keempat dengan 413 unit dan jumlah terkumpul 1,627 unit, selain mencatatkan peningkatan 15.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Leapmotor muncul sebagai antara jenama yang paling menyerlah pada Mei apabila berjaya lebih daripada menggandakan prestasi April kepada 237 unit. Pencapaian tersebut membolehkannya melonjak ke kedudukan kelima dengan jumlah terkumpul sebanyak 666 unit, selain turut menempatkan jenama itu dalam senarai 20 pengeluar kenderaan paling laris secara keseluruhan bagi bulan tersebut.

Tesla berada di tempat keenam dengan 197 unit didaftarkan pada Mei. Jumlah terkumpulnya kini mencapai 1,027 unit, menjadikannya antara jenama EV yang berjaya melepasi paras 1,000 unit pendaftaran tahun ini. Xpeng menduduki tangga ketujuh dengan 179 unit, yang juga merupakan pencapaian bulanan terbaik jenama itu sepanjang 2026. Jumlah pendaftaran terkumpulnya kini berada pada 573 unit.

MG pula berada di kedudukan kelapan dengan 138 unit dan jumlah keseluruhan sebanyak 717 unit. Jenama itu mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 50 peratus berbanding April. TQ Wuling mengikuti rapat di tempat kesembilan dengan 100 unit dan jumlah terkumpul 341 unit.

20 jenama EV terlaris Mei 2026 – Proton sudah atasi jumlah keseluruhan tahun lepas, Perodua ke-10

Perodua melengkapkan kelompok 10 jenama EV teratas apabila mencatatkan 80 unit pendaftaran pada Mei. Pengeluar nasional itu terus meningkatkan penghantaran model QV-E, iaitu EV pertama dan satu-satunya dalam rangkaian produknya ketika ini. Prestasi tersebut membolehkan Perodua naik daripada kedudukan ke-14 pada April ke tangga ke-10 pada Mei, dengan jumlah terkumpul sebanyak 144 unit.

MINI berada di tempat ke-11 dengan 72 unit, diikuti BMW di kedudukan ke-12 dengan 65 unit. Dongfeng pula mencatatkan peningkatan hampir dua kali ganda berbanding April kepada 61 unit, sekaligus menduduki tempat ke-13. Great Wall Motor berada di kedudukan ke-14 dengan 56 unit, manakala Volvo mencatatkan 41 unit untuk berada di tangga ke-15.

Lima kedudukan terakhir dalam kelompok 20 jenama EV terlaris disandang oleh GAC Aion di tempat ke-16 dengan 37 unit, diikuti Denza dengan 34 unit di tempat ke-17. Porsche berada di tangga ke-18 dengan 22 unit, manakala Chery dan Neta masing-masing menduduki tempat ke-19 dan ke-20 dengan 19 unit dan 16 unit.