Perodua telahpun mengumumkan harga baharu untuk EV pertamanya iaitu QV-E, di mana model berkenaan kini adalah lebih murah dengan harga RM93,999 lengkap bersama bateri, atau RM69,999 sekiranya anda memilih untuk memilikinya dengan program sewaan bateri (Battery-as-a-Service atau BaaS). Malah bagi program BaaS, bayaran bulanannya juga kini lebih rendah iaitu RM215 termasuk cukai, untuk sembilan tahun.
Sebagai perbandingan, ketika dilancarkan pada Disember tahun lalu, QV-E dijual pada harga RM80,000 tanpa bateri, manakala bayaran bagi program BaaS pula adalah RM275 sebulan untuk sembilan tahun.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad turut mengumumkan harga QV-E yang lebih rendah tetapi dalam tempoh masa terhad, iaitu RM87,499 lengkap dengan bateri atau RM63,499 dengan pakej BaaS (bayaran bulanan kekal RM215 selama sembilan tahun). Harga promosi ini sah bermula hari ini sehingga 30 September 2026 nanti.
Manakala untuk pemilik QV-E sedia ada, Zainal turut mengumumkan bahawa bayaran bulanan untuk BaaS juga turun kepada RM215 berbanding RM275 sebelum ini. Bayaran bulanan baharu yag lebih rendah ini akan bermula pada kitaran pembayaran mereka yang seterusnya. Beliau menambah bahawa pelanggan akan diberikan bayaran balik khas dan mereka akan dihubungi oleh penasihat jualan masing-masing tidak lama lagi.
Menurut bos besar Perodua itu harga baharu QV-E yang lebih rendah ini dapat ditawarkan kerana model berkenaan kini dihasilkan dengan lebih banyak komponen yang diproduksi secara tempatan di Malaysia.
“Perodua dan vendor-vendor tempatan telah berjaya mengeluarkan komponen alat ganti dalam jumlah yang signifikan, dan ini bermakna kami boleh terus melindungi pekerjaan tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi dan bekalan rantaian asing.”
“Perkembangan ini penting kerana kami kini boleh menyimpan inventori komponen alat ganti yang lebih besar – terutamanya bahagian badan kenderaan – untuk memastikan pelanggan boleh bergantung kepada alat ganti yang sudah tersedia di peringkat domestik apabila diperlukan,” katanya.
Menurut beliau lagi produksi QV-E di Rawang juga kini telah ditingkatkan sebanyak 500 unit sebulan. “Peningkatan dalam kandungan tempatan itu juga membolehkan kami mengoptimumkan operasi, dan kami kini mahu berkongsi manfaat tersebut dengan pelanggan yang dihargai,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama Zainal sekali menegaskan bahawa program BaaS yang ditawarkan untuk QV-E ini adalah bagi memberi ketenangan kepada pelanggan dengan menyerahkan kepada Perodua untuk menguruskan sepenuhnya bateri EV
mereka sepanjang tempoh sewaan tersebut.
Menerusi program ini ia bukan sahaja pakej bateri EV yang komprehensif merangkumi perlindungan untuk bateri, malah ia turut termasuk proses penghapusan dan penggantian serta insurans bateri sepanjang tempoh sewaan 9 tahun. Manakala bagi pembeli yang memiliki QV-E tanpa program BaaS, Zainal menyatakan bahawa Perodua turut menawarkan pembelian bateri apabila sudah sampai masa untuk ia dihapuskan.
QV-E bukan sahaja merupakan model EV pertama yang dihasilkan oleh Perodua, malah ia juga model pertama yang dibangunkan sendiri oleh syarikat itu dengan bantuan dari firma kejuruteraan Austria iaitu Magna-Styer, tanpa sebarang hubungan dengan Daihatsu atau Toyota.
EV ini digerakkan motor elektrik tunggal berkuasa 204 PS (150 kW) dan tork maksima 285 Nm bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 165 km/j. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri LFP 52.5 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 370 km dalam kitaran ujian WLTP.
Untuk mengecas, QV-E boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 60 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 30% hingga 80% dalam masa 30 minit. Ia juga boleh menerima pengecas AC 6.6 kW yang boleh memenuhkan cas dalam masa lapan jam.



